Berita Hari Ini

Rakyat Kelantan diajak buat perubahan besar

NAJIB disambut orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik, di Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG: Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat Kelantan bangkit dalam satu barisan untuk melakukan perubahan besar terhadap kehidupan dan pembangunan di negeri itu.

Perdana Menteri berkata, rakyat Kelantan harus memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk melakukan perubahan kerana selama ini negeri itu jauh ketinggalan.

“Insya-Allah, beri peluang kepada Barisan Nasional, kita akan buat perubahan besar, masalah bekalan air bersih boleh selesai dan banyak lagi masalah boleh kita selesaikan, termasuk permintaan membina lebuh raya,” katanya ketika merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Karnival sehari itu bertujuan melahirkan masyarakat bermaklumat dan memperkasa perpaduan rakyat. K1M adalah pertubuhan sukarela pada peringkat akar umbi yang diselia Jabatan Penerangan untuk memperteguhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Najib juga berkata, BN akan menyediakan manifesto khusus untuk Kelantan pada pilihan raya akan datang, selain menjadikan Gua Musang dan Jeli sebagai peneraju perubahan merampas negeri itu.

Pada sidang media kemudian, beliau yang melahirkan keyakinan UMNO Kelantan akan memberi tentangan hebat kepada PAS, berpuas hati dengan senarai calon UMNO Kelantan dan yakin usaha gigih UMNO negeri di bawah pimpinan Mustapa mampu membawa kejayaan.

Mengenai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, Najib berkata, ia hanya bersifat politik.

Mengenai gambar lelaki mirip Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali melakukan aksi lucah yang dipetik beberapa media daripada satu laman blog baru-baru ini, Najib berkata, terpulang kepada Azmin untuk membela dirinya.

Beliau juga gembira kes penculikan pelajar Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Nayati Shamelin Moodliar, 12, selesai apabila pelajar terbabit ditemui pagi kelmarin.

-BERITA HARIAN ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");