Berita Hari Ini
Like

Saham FGVH Yang Disenaraikan Beri Keutamaan Kepada Peneroka

May 31, 2012
76 Views
0 Comments
1 minute read
Saham FGVH Yang Disenaraikan Beri Keutamaan Kepada Peneroka

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Peneroka Felda tetap mendapat keutamaan dalam langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) apabila lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGVH diperuntukkan kepada golongan peneroka, warga pekerja Felda dan individu yang menyumbang kepada organisasi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan prospektus FGVH pada Khamis sempena penyenaraian gergasi perladangan itu, mengumumkan daripada 255,371,000 saham terbitan penawaran runcit, sebanyak 182,408,000 saham terbitan diperuntukkan kepada peneroka, pekerja dan mereka yang telah memberi sumbangan kepada organisasi tersebut manakala 72,963,000 saham selebihnya adalah untuk pelabur awam.

Sehubungan itu, Najib berkata dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan akan memanipulasikan golongan peneroka dengan penyenaraian tersebut sebagai tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa yang kita lakukan ini adalah sebagai menepati amanah yang ditinggalkan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, saya dan rakan-rakan berjanji tidak akan sekali-kali membiarkan kemudaratan bukan sahaja kepada warga Felda tetapi juga kepada generasi terkemudian dan negara. Kita tetap akan memperjuangkan Felda sebagai institusi lambang kejayaan rakyat Malaysia,” katanya di sini.

Saham FGVH dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun ini.

Komen & Pendapat

Leave a Reply