Isu Panas

‘UMNO lumpuh Melayu lenyap’

Hak-hak istimewa orang Melayu akan lenyap jika usaha pihak tertentu untuk melumpuhkan UMNO tidak dihalang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, orang Melayu kini menghadapi tekanan dan cabaran paling hebat, lebih-lebih lagi ada usaha untuk melenyapkan UMNO daripada terus menjadi tunjang pemerintahan negara.

”Apabila UMNO lenyap, kekuatan politik orang Melayu juga akan terhapus. Semua orang tahu, perjuangan menjaga hak-hak orang Melayu merupakan tanggungjawab utama UMNO sejak dulu kini dan selamanya.

”Oleh itu menjadi tanggungjawab orang Melayu untuk terus mempertahankan UMNO daripada lemah kerana tidak mustahil segala hak keistimewaan kita akan lenyap.

”Saya minta orang Melayu bersatu memperkukuhkan UMNO kerana itu sahaja kekuatan politik mereka untuk terus memegang tampuk pemerintahan negara,” katanya ketika berucap selepas menerima bendera Sang Saka Bangsa daripada UMNO Johor sempena Larian Bendera UMNO di Laman Belia Malaysia, Sungai Rambai di Jasin, Sabtu.

Bendera tersebut diserahkan oleh Datuk Abdul Ghani Othman kepada Mohd. Ali sebelum diserahkan kepada Ketua Pemuda UMNO negeri, Razak Abdul Rahman bagi memulakan larian peringkat negeri.

Seramai 3,000 ahli UMNO dari Melaka dan Johor berkumpul di Laman Belia 1Malaysia diiringi 66 pembawa bunga mangga, 40 buah motosikal berkuasa tinggi, paluan kompang serta perarakan bendera UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman; ADUN Serkam, Datuk Ghazale Mohamad dan ADUN Merlimau, Roslan Ahmad.

Mohd. Ali berkata, orang Melayu perlu mempertahankan UMNO kerana kepimpinan parti itu merupakan yang terbaik dalam membangunkan negara, menjaga hak orang Melayu di samping menjaga hak-hak kaum lain.

Sementara itu Pengerusi Larian Bendera peringkat negeri, Datuk Idris Haron berkata, seramai 13,900 orang akan menyertai larian itu yang melibatkan jarak 113 kilometer.

Menurutnya, larian hari pertama melibatkan jarak 52 kilometer dari Sungai Rambai melalui Merlimau, Serkam, Telok Mas, Ayer Molek, Duyong, Bukit Baru, Durian Tunggal dan berakhir di Paya Rumput.

”Esok pagi larian itu diteruskan ke Klebang, Pantai Kundor, Sungai Udang, Lendu, Tanjung Bidara dan berakhir di Kuala Linggi yang dijangka petang esok,” katanya.

Beliau menambah, bendera itu akan diserahkan kepada UMNO Negeri Sembilan oleh Mohd. Ali kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");