Membawang Hari Ini
Like

Yayasan Seniman P. Ramlee dengan dana RM1 juta dilancar

May 30, 2012
172 Views
0 Comments
2 minutes read
Yayasan Seniman P. Ramlee dengan dana RM1 juta dilancar

YAYASAN Seniman P Ramlee dengan dana permulaan RM1 juta dilancarkan malam ini – sempena ulang tahun ke-39 pemergian Seniman Agung itu.

Separuh daripada dana awal itu merupakan dana sumbangan kerajaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berkata, dana permulaan ini akan digunakan bagi menampung segala aktiviti seni dan budaya penggiat-penggiat seni dan kebajikan golongan seniman.

“Dana ini akan digunakan sepenuhnya kepada insan yang bergelar seniman dan menampung kebajikan mereka,” kata beliau ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Seniman Malaysia sempena Hari Seniman 2012 di sini, malam ini.

Sebanyak RM500,000 lagi disumbangkan oleh Yayasan Al-Bukhari kerana minat mereka yang amat mendalam dengan hasil Allahyarham P. Ramlee.

Rais juga mengumumkan akan mewujudkan program Kursi Pengajian  P. Ramlee di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara).

“Aswara dipilih bagi program ini kerana boleh mempromosikan produktiviti serta cara-cara melatih seni budaya pelbagai jenis,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, Aswara akan membuat kajian secara praktikal tentang bagaimana program ini boleh membawa Malaysia ke mata dunia melalui seni budaya.

“Aswara juga mempunyai kemudahan akademik dan praktikal yang mencukupi, selain daripada ahli pengajar yang terlatih bagi mengasah bakat-bakat muda supaya industri seni negara mampu menjadi salah satu aset dan menjana pendapatan negara khususnya,” kata beliau lagi.

Perhimpunan kali ini mengumpulkan seramai 10,000 orang penggiat seni terdiri daripada pelakon, penyanyi, pemuzik, penulis serta mereka yang terlibat dalam bidang seni.

Seramai 42 orang tokoh seni budaya menerima Anugerah Tokoh dalam pelbagai bidang seni negara.

Antara objektif Hari Seniman ialah memartabatkan bidang seni ke tahap yang lebih tinggi setanding kerjaya lain, memberi pengiktirafan kepada pendukung seni yang berkarya dan meningkatkan tahap apresiasi dan penghayatan masyarakat terhadap seni dengan menggalakkan penyertaan orang ramai.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat

Leave a Reply