Perak Hari Ini

Kekuatan PAS semakin goyah gara-gara mulut celupar Nizar

Kekuatan parti pembangkang terutamanya PAS Perak dilihat semakin goyah berikutan semakin ramai ahlinya keluar parti dan menyertai UMNO kerana kecewa dengan pucuk kepimpinan parti baik di peringkat negeri mahu pun Pusat.

Terbaru, hampir 700 ahli PAS dan PKR dari Daerah Larut mengambil keputusan menyertai UMNO, satu-satunya parti yang berjaya membela nasib, bangsa dan negara ini.

Senario ini juga mungkin disebabkan tindak-tanduk pemimpin negeri terutamanya Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang terus mencetuskan kontroversi yang bukan sahaja mengundang rasa kurang senang hati di pemimpin tertinggi parti itu tetapi juga di kalangan penyokong tegar PAS.

Tindakannya mengkritik Sultan Johor yang memenangi bidaan plat nombor WWW 1 misalnya, mendapat reaksi berbeza daripada rakyat di seluruh negara kerana ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengecam keras perbuatan Nizar itu yang dianggap menghina institusi diraja Johor.

Belum pun isu itu reda, keghairahan Nizar mengkritik UMNO di ‘Himpunan Hijau Ke Putrajaya’ di Stadium Darul Aman Jumaat lalu, turut mengundang padah.

Mungkin kerana melihat puluhan ribu penyokong mendengar ceramahnya, beliau begitu teruja tanpa menyedari tersasul menyebut ‘himpunan ini tanda kejatuhan PAS di semua peringkat’.

Beliau yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Mentalkinkan UMNO’ sementara menunggu ketibaan penceramah, Azhar Idrus itu langsung tidak menyedari kesilapan itu dan meneruskan ucapannya dengan penuh bersemangat.

Kesilapan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut disiarkan dalam Buletin Utama TV3  selain dimuat turun oleh beberapa blog.

Tindakan kontroversi yang dicetuskan Nizar sejak kebelakangan ini dipercayai membuka minda penyokong PAS di negeri ini untuk berfikir secara rasional di sebalik wadah perjuangan parti yang kononnya memperjuangkan Islam.

Menurut salah seorang bekas ahli PAS Larut, dahulunya PAS mendokong perjuangan Islam tetapi kini ia semakin agresif dan tidak menyenangkan banyak pihak.

Ulasnya lagi, pada suatu ketika penyokong PAS akan melaungkan takbir Allahuakbar (Allah Maha Besar) tetapi pada masa sama mereka boleh kata ‘mampus UMNO’.

Selain itu, bekas penyokong PAS ini melihat parti itu hanya diperalatkan oleh DAP dan PKR untuk mencapai cita-cita menawan Putrajaya.

Ditanya adakah kemasukan bekas pegawai kanan PDRM, Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS Larut bulan lalu, mereka berkata ia sama sekali tidak menjejaskan kekuatan UMNO Bahagian Larut.

Keyakinan ini bersandarkan kejayaan BN menyapu bersih kerusi Parlimen Larut dan tiga kerusi DUN pada pilihanraya 2008 iaitu Kubu Gajah, Batu Kurau dan Selama.

Ahli Parlimennya, Datuk Hamzah Zainudin menegaskan, penyertaan bekas penyokong PAS sebagai ahli UMNO akan menguatkan lagi parti BN pada pilihanraya akan datang.

Beliau berkata, daripada 42,000 pengundi Parlimen Larut, hampir 30,000 daripadanya menyokong UMNO manakala seramai 3,000 dan 2,000 lagi menyokong MIC dan MCA.

Tegas Hamzah lagi, rakyat kini kembali menyokong UMNO dan BN kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan menepati janji.

Tambahnya, berbanding dengan PAS, negeri Kelantan masih menjadi antara negeri yang termundur di Malaysia walaupun lebih 20 tahun parti pembangkang itu berkuasa di negeri tersebut.

“Selain itu, rakyat juga harus ingat bagaimana mereka berada dalam penderitaan sepanjang tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah di Perak dan tindakan Menteri Besarnya ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang merosak dan mencemar budaya Melayu,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");