Jenayah

Mahkamah tolak permohonan Hamidah Osman saman Khalid Samad

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman untuk membatalkan saman fitnah oleh anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berhubung dakwaan penyiaran gambar ‘super impose’ beliau memakai jubah paderi dalam blog milik ahli politik wanita itu.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa kes saman berkenaan harus dikendalikan oleh Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.

Defendan dalam permohonan membatalkan saman berhujah tuntutan yang dibangkitkan dalam saman itu membabitkan isu akidah, justeru ia perlu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukannya Mahkamah Sivil.

Zainal Azman berkata sekiranya isu yang dibangkitkan dalam saman itu membabitkan isu akidah, pihak pendakwaan dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa defendan.

“Pada pendapat saya kes ini ialah saman fitnah biasa yang menyentuh kredibiliti plaintif, oleh itu saya dapati Mahkamah Sivil yang harus mendengar kes ini dan bukan dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya.

Mahkamah akan menetapkan tarikh pengurusan kes kemudian.

Pada tahun lepas, Khalid yang juga Pesuruhjaya III PAS Selangor, memfailkan saman fitnah berhubung penyiaran gambar teknik ‘super impose’ beliau memakai jubah paderi dalam blog milik Hamidah, http://hamidahosman.blogspot.com pada Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, anggota Parlimen itu antara lain mendakwa gambar itu menggambarkan beliau seperti seorang yang murtad dan beliau juga mendakwa gambar itu menggambarkan beliau sebagai seorang paderi Kristian.

Hamidah, yang juga exco kerajaan negeri Perak, mendakwa Khalid sebagai seorang jurutera tidak layak untuk memberi, mengembang atau menyebarkan sebarang pendapat berhubung isu kalimah Allah yang bertentangan dengan fatwa.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");