Perak Hari Ini

Nizar semakin dipinggirkan, jejas peluang PR bertapak di Johor

Tindakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengkritik pembidaan nombor plat WWW 1 oleh Sultan Johor, ternyata kurang disenangi pemimpin tertingi PAS kerana dikhuatiri boleh menjejaskan peluang Pakatan Rakyat (PR) bertapak di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata tindakan Nizar yang mengeluarkan kritikan tanpa usul periksa telah mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin dan rakan seperjuangannya dalam PAS  termasuklah Naib Presidennya, Salahuddin Ayub.

“Kontroversi yang dicetuskan Adun Pasir Panjang itu dibimbangi akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat terutamanya PAS untuk bertapak di negeri Johor.

“Selain itu, Nizar juga dilihat tidak jujur dan benar-benar ikhlas ketika membuat permohonan maaf kerana hanya menyebut ‘a thousand apologies’ berhubung tindakannya mengkritik pembidaan nombor plat WWW 1 oleh Sultan Johor,” katanya kepada pemberita selepas melawat bekas ADUN Bercham, Gooi Seng Teik di Taman Tawas Gemilang, hari ini.

Sebelum ini, Salahuddin yang dipetik dari akhbar berbahasa Inggeris dilaporkan berkata, walaupun kritikan itu bersifat peribadi, Nizar tidak seharusnya melakukan tindakan atau perbuatan yang tidak membawa faedah kepada PAS.

Beliau sendiri menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat tindakan Nizar itu sambil menyifatkan PAS juga mempunyai hubungan baik dengan kerabat diraja Kelantan dan Kedah

Ketika ditanya mengenai desakan menarik balik darjah dan pingat kebesaran yang dianugerahkan kepada Nizar, Zambry  berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Nizar dianugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-80.

Pada 29 Mei lalu, Nizar dalam kenyataannya kepada Sinar Harian berkata:

“Jika ada mana-mana pihak yang terguris hati dengan mesej Twitter itu, saya mohon maaf”.

Beliau berkata, apa yang dinyatakan dalam laman Twitternya itu tidak bermaksud untuk mempertikaikan keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail yang menawarkan bidaan tertinggi sebanyak RM520,000.

Sebaliknya, kenyataan itu dibuat secara umum atas pandangan seorang rakyat.

“Jika ada yang menuduh saya menghina Sultan, itu sudah keterlaluan, kerana saya tiada niat untuk berbuat demikian.

“Itu hanya pandangan saya sebagai rakyat biasa yang melihat senario di negara ini bahawa masih ramai yang hidup dalam kesempitan dan memerlukan perhatian,” tegas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");