Jenayah

Polis tumpaskan ‘Geng Ah Kaw’

IPOH: Polis percaya dapat menumpaskan kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Ah Kaw’ berikutan penahanan lima orang, dua daripadanya wanita, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun bersenjata dan pecah rumah di sekitar bandar raya ini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata empat orang, termasuk dua wanita berusia lingkungan 26 hingga 33 tahun, ditahan pada jam 2 pagi di sebuah rumah di Taman Rasi, Menglembu di sini hasil maklumat orang awam.

Susulan penangkapan itu, polis menahan seorang lagi suspek berusia 30 tahun pada 7 pagi di sebuah rumah di Taman Mas, Menglembu.

Siasatan mendapati dua daripada lelaki itu baru sebulan dibebaskan dari Pusat Tahanan Machang, Kelantan berkaitan kesalahan mengikut Ordinan Darurat membabitkan pecah rumah dan curi kenderaan, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azisman berkata polis turut merampas sebuah kereta dan hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemui beberapa barangan samun, antaranya pelbagai jenis barangan elektrik yang kesemuanya bernilai lebih RM100,000.

Turut dirampas empat bilah pedang dan beberapa alat gerudi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kegiatan samun itu.

Azisman berkata siasatan juga mendapati kereta jenis Toyota-Vios yang digunakan oleh kumpulan terbabit merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang sejak tiga bulan lalu di Menglembu.

Kereta itu digunakan oleh geng tersebut dalam kegiatan samun dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata siasatan mendapati kumpulan ini melakukan samun sejak tiga bulan lalu di sekitar bandar raya ini pada tengah malam dan awal pagi dengan bersenjatakan parang di sekitar kawasan perumahan terutamanya di kawasan terpencil dan sunyi.

Setakat ini polis mendapati mereka telah melakukan lima kes samun dan mereka ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Azisman meminta orang ramai yang menjadi mangsa samun supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk mengenal pasti barangan milik mereka selain menyalurkan maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan.

– Bernama –

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");