Program Basmi Kemiskinan

Projek lupus sampah di tapak pelupusan Sungai Wangi siap akhir tahun

Masalah bau busuk yang dihadapi penduduk Sitiawan sejak 30 tahun lalu dijangka berakhir apabila projek melupuskan sampah di tapak pelupusan Sungai Wangi, siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Ketika ini, penduduk terpaksa berhadapan bau busuk kerana kerja mengorek bukit sampah yang dibuang puluhan tahun lalu sedang giat dilakukan oleh pihak kontraktor.

Sebelum ini, Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham cuba mengheret badan bukan kerajaan (NGO) untuk mempolitikkan isu tapak pelupusan sampah Sungai Wangi.

Wakil rakyat pembangkang itu cuba menimbulkan rasa tidak puas rakyat di situ dengan menganjurkan demonstrasi aman di Padang Lapangan Terbang Sitiawan, 20 Mei lalu bagi menuntut tapak pelupusan itu dipindahkan segera ke tempat yang lebih sesuai.

Hakikatnya, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sudah mengenalpasti tapak baru seluas 40 hektar di Teluk Mengkudu, dekat Beruas bagi menggantikan tapak berkenaan.

Selain itu, Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha turut menjelaskan bahawa bekas tapak pelupusan sampah yang telah berusia kira-kira 40 tahun itu akan dinaiktaraf sebagai zon hijau dan kawasan penduduk beriadah.

“Buat masa ini, kerja-kerja menaiktaraf tapak pelupusan tersebut sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor untuk dibangunkan sebagai zon hijau.

“Kerja-kerja mengorek dan meratakan longgokan sampah sudah pasti menyebabkan bau yang kurang menyenangkan dan masalah tersebut dibangkitkan oleh Khoo Ham untuk meraih sokongan politik,” katanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika mengulas perkara itu telah menyatakan kekesalannya di atas tindakan NGO menjemput wakil rakyat pembangkang untuk menyertai demonstrasi berkenaan.

Ujarnya, ketika ini bau busuk yang terpaksa dihidu penduduk yang tinggal di sekitar tapak pelupusan itu tidak dapat dielakkan kerana ia sebahagian daripada proses yang dijalankan untuk melupuskan sampah sedia ada.

Namun, masalah bau itu katanya, masih terkawal dan rawatan perlu dijalankan di tapak berkenaan sebelum ia boleh digunakan semula.

“Kita jangka rawatan yang dijalankan ini siap hujung tahun ini,” katanya.

Baru-baru ini, penduduk dan wakil NGO tempatan termasuk Sahabat Alam Malaysia diberi peluang oleh MPM untuk melawat tapak pelupusan sampah Sungai Wangi.

Mereka diberi penerangan mengenai proses yang dilaksanakan bagi menjayakan projek itu termasuk kaedah mengasingkan sampah bagi mengelakkan pencemaran sungai berhampiran.

Yang Dipertua MPM, Zamri Man, berkata lawatan itu diharap dapat membuka mata masyarakat bahawa pihaknya melakukan tugas sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah penduduk.

“Masyarakat jangan hanya mendengar cakap-cakap orang yang tidak mengetahui perkara sebenar dan kami juga   mengalu-alukan pandangan orang ramai untuk memperbaiki mutu perkhidmatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");