Sukan Hari Ini

Suryani terharu perhatian Najib

SURYANI penembak raifal pertama negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik.

Penembak negara sifatkan rezeki anak

REZEKI anak! Itu boleh digambarkan mengenai penembak negara yang bakal menggalas cabaran di Sukan Olimpik London, Julai ini – Nur Suryani Mohd Taibi – yang menerima perhatian dan sumbangan daripada pelbagai pihak dengan terbaru daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Olimpian Wanita Terbaik 2011 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu berkata, berita berkenaan sangat menggembirakan apa lagi dengan hajatnya yang mahu suami, Marhazli Mhotar turut serta mengiringinya di London, semakin menunjukkan perkembangan positif.

“Sumbangan dan keprihatinan yang ditunjukkan semua pihak terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sangat melegakan saya setelah pelbagai rintangan dilalui. Saya tidak perlu risau lagi dan ke sana (London) dengan melakukan yang terbaik,” kata Nur Suryani.

Marhazli dalam pada itu, turut berterima kasih dengan keprihatinan Perdana Menteri yang sudi meringankan beban ditanggung mereka selain sentiasa memberi sokongan padu dalam membolehkan impian isterinya tercapai.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor kerana sanggup meringankan beban kami dan sentiasa bersama rakyat. Turut tidak dilupakan kepada Menteri Belia dan Sukan dan pelbagai lagi kementerian lain termasuk Persatuan Menembak Malaysia kerana menyokong keputusan kami. Tidak dilupakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya, semalam.

Kelmarin, Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan segala keperluan, termasuk berkaitan keselamatan dan perubatan ratu menembak negara itu sepanjang pembabitannya dalam temasya berprestij dunia berkenaan akan dibiayai atas dasar kesungguhannya untuk menghadapi cabaran meskipun hamil lapan bulan ketika di London.

Ia termasuk usaha dalam mendapatkan tiket penerbangan dan tiket masuk menyaksikan pertandingan untuk Marhazli selepas Media Prima Berhad (MPB) menggerakkan inisiatif menerusi unit berita sukan bagi mengumpul sumbangan daripada orang ramai tidak kira dalam bantuan kewangan, tiket penerbangan atau penginapan. Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Norhaizan (MPB) atau Nuradilah (NSTP) di talian 03-77266329 atau 03-20569301.

Nur Suryani adalah penembak raifal pertama negara yang layak secara merit ke Olimpik atas prestasi cemerlangnya di Kejohanan Asia di Doha, awal Januari lalu. Bakal ibu berusia 30 tahun itu juga adalah olimpian keempat yang hamil menyertai Olimpik selain Magda Julin (1920), Diana Sartor (2006) dan Kristie Moore (2010).

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mengalu-alukan kerjasama pihak korporat seperti MPB kerana sudi membantu atlit yang memerlukan.

“MSN masih boleh menampung keperluan itu sebenarnya dan saya jangkakan kutipan kali ini tidak banyak. Tetapi jika kutipannya melebihi, kita boleh bawa ia ke depan bagi membantu atlit yang lain pula,” katanya.

– Berita Harian Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");