Sukan Hari Ini

BAM mahu Chong Wei bawa Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR – Selepas menerima rayuan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), 19 ahli lembaga Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bakal mengundi hari ini untuk menentukan sama ada penghormatan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Olimpik London diberi kepada jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei atau penerjun remaja, Pandelela Rinong.

Dengan mengambil kira ini adalah penampilan terakhir Chong Wei di Olimpik dan dia telah menyumbangkan pingat perak pada temasya empat tahun lalu, BAM mahu bintang mereka itu diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan 27 Julai ini.

Selepas dua kali beraksi di Sukan Olimpik, bekas jaguh No. 1 dunia itu tidak pernah menyertai acara pembukaan kerana terpaksa bertanding pada keesokan harinya. Namun, memandangkan acaranya kali ini hanya akan berlangsung dua hari selepas pembukaan, Chong Wei memutuskan untuk menyertai perarakan kontinjen negara buat kali pertama.

Justeru, BAM berasakan adalah wajar andai pemain yang diuar-uarkan sejak dulu sebagai prospek pingat emas pertama Malaysia diberi penghormatan tersebut, apatah lagi Chong Wei merupakan atlet terbaik yang berada dalam kontinjen di London kerana dia satu-satunya pemenang pingat Olimpik yang akan bertanding pada temasya kali ini.

Masalahnya sekarang, MOM sudahpun memilih penerjun remaja berusia 19 tahun, Pandelela sebagai pembawa Jalur Gemilang dan pemilihan itu diumumkan oleh Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, minggu lalu.

“Pada awalnya, kami memang tidak terfikir untuk membuat rayuan kerana perlawanan pertama Chong Wei jadualkan pada 28 Julai, sehari selepas upacara pembukaan. Tetapi selepas mendapat pengesahan daripada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) bahawa dia hanya akan beraksi pada 29 Julai, Chong Wei memberitahu kami bahawa dia berminat untuk menyertai perarakan kontinjen negara.

“Dia kata, dalam dua Sukan Olimpik sebelum ini dia tidak berpeluang untuk menyertai perarakan kerana jadual pertandingan yang ketat, tetapi kali ini memandangkan dia mempunyai sedikit masa dan ini adalah temasya yang terakhir buat dirinya, dia mahu menjadi sebahagian daripada kontinjen di upacara pembukaan,” kata Pengurus Besar MOM, Kenny Goh.

Sementara itu Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan, bahawa rayuan yang dikemukakan BAM telah dipertimbangkan badan itu dan satu undi pos yang akan dijalankan di kalangan 19 ahli lembaga mereka, hari ini.

-Utusan Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");