Isu Panas

Bubar Parlimen April 2013, MPN saran PM

BANGI BARU BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar menggunakan mandat sepenuhnya, sehingga April 2013, sebelum memanggil Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata, Najib perlu menggunakan sepenuhnya mandat lima tahun sedia ada untuk terus membantu rakyat serta memakmurkan negara, yang dilihat dapat meraih sokongan.

“Saya tidak mahu cadang bila beliau patut bubar (Parlimen), beliau lebih tahu.

“Tetapi kalau saya berpeluang, saya akan kata, gunakan hingga akhir (mandat),” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu tenaga akademik ini mengambil bahagian dalam forum khas mengenai pilihan raya umum ada yang diadakan pada Program Semarak Kasih MPN Bersama Anak Yatim di sini, hari ini.

Selain beliau, turut menjadi ahli panel ialah Prof Dr Mansor Mohd Noor dan Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Syed Idid.

Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) menekankan bahawa mandat semasa bukan diperoleh menerusi kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional.

“Datuk Seri Najib baru tiga tahun jadi Perdana Menteri. Beliau masih ada masa, seharusnya menggunakan untuk meneruskan program kerajaan,” katanya lagi.

Beliau ditanya pada pandangan MPN bila masa yang sesuai Najib memanggil PRU13 di sebalik spekulasi bahawa Parlimen dibubarkan bulan lalu. Spekulasi baru menyebut Parlimen kemungkinan akan dibubarkan September ini atau November dan jika tidak kemungkinan besar Mac-April depan.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir penghujung April 2013.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat kemungkinan BN akan menang tetapi hanya memperoleh majoriti tipis berdasarkan beberapa kajian yang dikemukakan kebelakangan ini, Shamsul Amri bersetuju dengan tanggapan itu.

Bagaimanapun beliau menolak andaian negara akan berhadapan dengan kemungkinan Parlimen gantung.

“Parlimen gantung, saya rasa tidak, tidak mungkinan… 111-110 kerusi? Tidak mungkin. Majoriti tipis, ya mungkin,” katanya yang yakin BN akan mengekalkan kuasa.

Laporan media kelmarin memetik anggota MPN berkata BN akan menang di peringkat pusat tetapi tidak akan memperoleh majoriti dua pertiga.

Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Umno dan BN mempunyai kelebihan untuk memenangi PRU13 dan merampas kembali beberapa negeri yang ditadbir pembangkang.

Katanya, kajian itu, yang dilakukan terhadap 1,400 responden di Kedah dan Selangor pada Mac hingga Mei tahun ini, menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia setakat ini memilih BN.

“Di Selangor, pengundi cenderung untuk memilih BN manakala di Kedah kedudukannya 50-50 tetapi ia mungkin berubah,” katanya pada Perbincangan Meja Bulat ‘PRU 13: Malaysia Pilih Siapa’ anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN.

Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran UKM itu berkata PRU13 merupakan satu kemuncak kepada penilaian prestasi bagi BN dan pakatan pembangkang di empat negeri sama ada mereka boleh kekal memerintah ataupun BN berjaya merampas kembali keempat-empat negeri berkenaan.

Secara keseluruhannya, beliau berkata 69.6 peratus responden menyatakan bahawa BN akan memenangi PRU 13 iaitu 37.5 peratus menyatakan bahawa BN akan menang dengan 2/3 majoriti manakala 32.1 peratus pula menang dengan majoriti mudah.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");