Program Basmi Kemiskinan

Hapus syarat usia bas sekolah lebih 30 tahun, desak pengusaha kepada SPAD

Pengusaha bas sekolah di Perak hari ini mendesak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menghapuskan syarat had usia bas sekolah melebihi 30 tahun dengan serta-merta yang menjejaskan mata pencarian mereka hingga berhadapan risiko gulung tikar.

Lebih 30 pengusaha yang mewakili Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Perak, Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Cina dan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Tamil menuntut supaya SPAD membenarkan bas yang berusia lebih tahun memberikan khidmat jika melepasi ujian dan pemeriksaan yang dilakukan pihak PUSPAKOM.

Selain itu, mereka juga mempertikaikan mengapa SPAD meletakkan syarat itu sedangkan bas yang berusia lebih 30 tahun hanya digunakan dalam lingkungan jarak 10 hingga 15 km sahaja.

Sebelum ini, SPAD mengambil keputusan memberi kelulusan pembaharuan lesen satu tahun sehingga akhir 2012 bagi bas sekolah yang akan tamat tempoh tahun ini. Syarat lain yang ditetapkan jika kenderaan masih gagal disiapkan sebelum tempoh tamat tempoh berkuatkuasa lesen, tambahan satu tahun lagi akan diberi kepada pengusaha sehingga akhir 2013.

Dalam tempoh itu, pengusaha dikehendaki membuat gantian kenderaan yang dianggap kebanyakan pengusaha bas sebagai tidak adil dan tekanan kewangan kewangan terhadap mereka.

Salah seorang pengusaha yang ditemui Peraktoday.com, Rokiah Yob, berkata syarat SPAD itu akan menyebabkan pengusaha bas akan gulung tikar, sekaligus menjejaskan sumber pendapatan mereka selama ini.

Selain itu, kegiatan van sekolah haram yang semakin berleluasa juga menyukarkan pengusaha bas untuk bersaing kerana bilangan murid dan pelajar yang menggunakan perkhidmatan semakin berkurangan saban tahun.

“Saya dan rakan yang lain ingin membantah tindakan SPAD yang meletakkan syarat usia bas lebih 30 tahun tidak boleh lagi menawarkan perkhidmatan dan untuk membeli bas yang baru, sudah pasti kami tidak mampu.

“Selain itu, kami juga berharap pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap van sekolah haram yang banyak menjejaskan pendapatan pengusaha bas sekolah dan sebagai contoh, hanya 12 murid di sebelah pagi dan 20 lagi di sebelah petang yang menggunakan bas saya sedangkan ia boleh membawa 45 penumpang pada satu-satu masa,” katanya.

Rokiah yang menawarkan perkhidmatan bas sekolah di sekitar Taman Meru dan Gugusan Manjoi, berkata masalah itu berlarutan sejak enam tahun lalu.

Lebih mengecewakan apabila ada segelintir pemandu itu katanya, adalah kakitangan awam yang membuat kerja sambilan tanpa mengira periuk nasi pengusaha bas yang terjejas akibat perbuatan tamak mereka itu.

“Saya harap SPAD prihatin dengan nasib pengusaha bas sekolah dan bantulah kami dengan apa cara sekalipun.

“Jangan hanya inginkan bas yang baru dan lawa tetapi fikirkan sama nasib pengusaha terutamanya yang tinggal di kawasan kampung,” kata Rokiah lagi.

Sementara itu, V Mahaletchumy yang berpengalaman 14 tahun membawa bas sekolah berkata, selama ini, beliau bersama suaminya menyara keluarga dengan menawarkan khidmat mengangkut murid dan pelajar sekolah dari sekitar Taman Rishah dan Silibin.

“SPAD perlu bagi peluang kepada pengusaha bas sekolah untuk terus menawarkan khidmat selagi mereka terdaya dengan menghapuskan serta-merta syarat usia bas melebihi 30 tahun.

“Ambil perhatian serius terhadap kegiatan van sekolah haram yang seolah-olah kebal daripada tindakan pihak penguatkuasa kerana walaupun aduan telah dibuat, masalah ini tetap berterusan.

“Jika masalah ini dapat ditangani, saya percaya ibu bapa akan kembali menggunakan khidmat bas sekolah,” tegasnya lagi.

S Muniandy, 64, pula menegaskan ketika ini, pendapatan pengusaha bas sekolah sekadar cukup makan sahaja yakni sekitar RM2,000 sebulan.

“Ramai antara pengusaha bas sekolah ini sudah berumur lebih 50 tahun dan cukup berpengalaman dalam pekerjaaan mereka yang bukannya mendatangkan keuntungan besar.

“SPAD perlu sedar bahawa situasi kenaikan harga barang ganti khususnya tayar dan minyak yang memberi tekanan besar kepada pengusaha bas sekolah,” katanya lagi.

Selain itu, bagi memudahkan pengusaha bas untuk memperbaharui permit masing-masing, adalah wajar jika SPAD membuka cawangannya di Ipoh dan bukannya di Putrajaya sahaja serta had usia bas sekolah bagi perjalanan rombongan perlu dilanjutkan dari 20 tahun kepada 25 tahun, tambah pengusaha itu lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");