Laporan Eksklusif

Kejayaan Malaysia Dikagumi Negara Luar – Rosmah Mansor

PUTRAJAYA 19 Julai – Transformasi dari pelbagai aspek negara ini seharusnya dibanggakan oleh rakyat Malaysia kerana pencapaian tersebut turut mendapat penghargaan dari pihak luar.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, terdapat pemimpin luar melahirkan rasa kagum dengan kejayaan dan pencapaian di Malaysia kepadanya.

“Pada minggu lalu, saya telah pergi ke Bangalore dan Dubai, ada pemimpin tertinggi di sana mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya membuat transformasi kepada Malaysia.

“Mereka turut berkata, setiap negara perlu melakukan transformasi dalam usaha memajukan negara kearah yang lebih baik,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Meraikan Gagasan Aman Kampus Nasional di Seri Perdana di sini malam tadi.

Menurut Rosmah, Perdana Menteri telah melaksanakan beberapa program transformasi negara sebagai inisiatif untuk membangunkan negara ini bagi mencapai kemajuan menjelang tahun 2020.

“Kita (Malaysia) telah mencapai kejayaan yang dikagumi oleh pemimpin luar, tetapi mengapa rakyat sendiri tidak menghargai dan mensyukuri dengan nikmat yang telah Allah SWT berikan?,” katanya.

Tambahnya, golongan belia perlu tahu bahawa negara ini sudah mencapai kejayaan yang cemerlang dan tiada apa yang perlu dibimbangkan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah.

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan Gagasan Aman Kampus Nasional selepas selesai menamatkan program Aman Kampus Di Bawah Bayu program jelajahnya pada 9 Julai lalu.

Program tersebut telah melibatkan seramai 60 penuntut institut pengajian tinggi di sekitar Kota Kinabalu bersama 70 mahasiswa dari Semenanjung bagi tujuan menyelami isi hati masyarakat dan mahasiswa di negeri Sabah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");