Laporan Eksklusif

Kem Perkasa Remaja Beri Peluang Pekerjaan Kepada Belia: Rosmah

KUALA LUMPUR 2 Julai – Kem Perkasa Remaja yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memberi peluang pekerjaan kepada para peserta sejak siri pertama program ini dianjurkan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, seorang daripada peserta Kem Perkasa Siri 1 program telah bekerja di Outward Bound Lumut sebagai Pembantu Infrastruktur manakala majoriti daripada mereka bekerja di syarikat pembinaan, permotoran dan berniaga sendiri.

“Kem Perkasa Siri 2, seramai 11 orang telah bekerja sebagai anggota Polis Bantuan Felda, seorang sebagai chef di D’Saji Felda, manakala dua orang lagi sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Lim Kok Wing dan Institut Kemahiran Belia (IKBN).

“Seramai 13 orang daripada peserta Kem Perkasa Siri 3 kini sedang menuntut di IKBN di pelbagai tempat dan mereka dilaporkan telah memperoleh keputusan yang cemerlang dan ada yang menjadi penggerak persatuan di institut mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Kem Perkasa Remaja Siri 4 di Panggung Seni, UKM di sini hari ini.

Menurut Rosmah, kesemua peserta Kem Perkasa Siri 4 telah berjaya ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran di IKBN mengikut bidang yang diminati oleh para peserta.

“Harapan negara ini banyak tertumpu kepada generasi muda dan kerajaan telah meletakkan sasaran untuk melahirkan generasi muda yang maju ke hadapan (forward looking), berpacukan akademik dan berjaya dalam kerjaya,” ujarnya.

Sehubungan dengan perkara itu, kerajaan telah memberikan tumpuan khas kepada golongan remaja untk dibantu bagi mengubah masa depan mereka dalam pembangunan Rancangan Malaysia ke-10.

-Klpos

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");