Perak Hari Ini

Kempen Kibar Jalur Gemilang Hambar

Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan ulangtahun kemerdekaan  negara yang ke-55 mendapat sambutan dingin daripada pemilik premis perniagaan di bandar raya ini.

Sejak dilancarkan 17 Julai lalu baik di peringkat Pusat dan negeri, bilangan atau jumlah premis perniagaan yang mengibar Jalur Gemilang amat mendukacitakan, mungkin masing-masing menanti sumbangan bendera percuma daripada kerajaan atau pun pihak berkuasa tempatan.

Tinjauan Peraktoday.com di sekitar bandar raya Ipoh mendapati hanya segelintir pemilik premis perniagaan yang menyahut kempen Kibar Jalur Gemilang sempena ulagtahun kemerdekaan negara ke-55, tahun ini.

Kempen itu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pada 17 Julai lalu antara lain menggalakkan rakyat mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara tanpa rasa berbelah bagi.

Selain itu, kelihatan hanya premis atau pejabat kerajaan yang mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya premis perniagaan kurang berminat menjayakan kempen itu walaupun ia telah diwar-warkan secara meluas menerusi media cetak dan elektronik.

Sebaliknya, pengibaran bendera parti politik dilihat lebih mendominasi suasana di beberapa kawasan termasuklah di Gugusan Manjoi, antara penempatan kampung tradisional Melayu terbesar di negara ini.

Bahang pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa dipercayai antara punca mengapa kempen ini mendapat sambutan dingin daripada wargakota Ipoh dan pemilik premis perniagaan.

Situasi yang berlaku ini menunjukkan penghayatan serta semangat patriotisme di kalangan rakyat semakin luntur.

Sambutan ulangtahun kemerdekaan yang diraikan setiap tahun semakin dipinggirkan seperti angin lalu tanpa sebarang usaha mahupun kesungguhan yang ditonjolkan rakyat dalam menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi sejak 55 tahun lalu.

Pada 17 Julai lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Perak di Arena Square, Kuala Kangsar.

Majlis pelancaran yang turut diadakan serentak di seluruh negara itu bertujuaan mengajak semua lapisan masyarakat untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis mahupun kenderaan masing-masing.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");