Perak Hari Ini

Masalah tanah di Kampung Sahom selesai, 63 penduduk terima Borang Tawaran 5A

Isu penempatan yang membelenggu penduduk Kampung Sahom, dekat Kampar akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila 63 daripada mereka menerima surat tawaran Borang 5A dari Pejabat Tanah Daerah Kampar untuk fasa pertama.

Setelah terpaksa menunggu lebih berpuluh tahun untuk memiliki tanah milik kekal, akhirnya masalah itu dapat diatasi hasil usaha gigih kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Salah seorang penerima Borang 5A, Deram Shah Taharim, 53, memberitahu keluarganya terpaksa menunggu hampir 10 tahun sebelum masalah tersebut berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Saya berasa begitu gembira kerana terpilih menerima Borang 5A dan amat berterima kasih kepada Dr Zambry  di atas keprihatinan beliau menyelesaikan masalah penduduk yang tertangguh begitu lama,” katanya.

Bagi warga emas Nor Ahmad Samsudin, 69, tiada apa yang menggembirakan buat dirinya dan keluarga apabila pemohonan yang sudah memasuki generasi ketiga akhirnya diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Perkara ini sudah berlanjutan berpuluh tahun lamanya iaitu sejak zaman arwah bapa mertua lagi sehinggalah anak saya membuat pemohonan baru sebelum ia diluluskan,” jelasnya.

Nor Ahmad memberitahu, masalah tersebut tidak akan dapat diselesaikan tanpa keprihatinan serta kesungguhan barisan kepimpinan negeri termasuklah wakil rakyat kawasan itu.

“Kalau bukan kerana Dr Zambry, masalah ini tidak ke mana…..beliau banyak berusaha serta turun padang mencari jalan penyelesaian masalah penduduk,” katanya dengan nada yang sebak.

Sementara itu bagi surirumah, Rohinah Dahari, 64, berkata perkara yang dinanti-nantikan oleh dirinya dan keluarga berakhir hari ini.

Katanya, isu pemohonan pemilikan tanah sudah dibuat oleh penduduk bukan perkara baru kerana ia telah melibatkan satu jangka masa yang agak lama.

Tambahnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh penduduk serta ketua kampung dalam membawa masalah yang dihadapi mereka kepada pihak berkuasa.

Meskipun terpaksa menunggu lama, beliau tetap bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar sebagai individu yang dilihatnya begitu bertungkus lumus menuntuk hak yang sewajarnya diberikan kepada penduduk yang sudah bermastautin berpuluh tahun lamanya.

Sementara itu, Dr Zambry dalam ucapannya, memberitahu ia merupakan sebahagian janji yang telah ditepati serta dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat.

“Kerajaan kita bukanlah kerajaan yang hanya pandai menabur janji tapi lebih kepada melaksanakan janji kepada rakyat,” jelasnya.

Pada masa yang sama beliau turut meminta agar penduduk yang bakal menerima geran tanah supaya menghargai pemberian yang diberikan oleh kerajaan selepas bersusah payah untuk mendapatkannya.

“Harap dengan adanya pemberian ini ia akan dijaga elok oleh penduduk setelah terpaksa menunggu begitu lama untuk mendapatkan hak tersebut,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");