Laporan Eksklusif

Menjejak Misi DS Rosmah dan Pengalaman Di Bangalore, India

Oleh Remi Yusof: –

TANGGAL 2 Julai 2012, penulis diminta pihak majikan ke Bangalore, India untuk membuat liputan Kongres Pembangunan Sumber Manusia Asia ( HRD Asia 2012) yang berlangsung dari 10-12 Julai yang turut dihadiri Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Datin Seri Rosmah dijangka tiba pada malam 10 Julai dan penulis diminta pergi sehari lebih awal, iaitu pada 9 Julai dan tempoh seminggu yang diberikan majikan memberi ruang dan peluang kepada penulis untuk membuat persiapan sepenuhnya.

Perkara pertama yang diperiksa adalah pasport antarabangsa samada masih sah atau telah tamat tempohnya. Nasib baik tempoh sahnya masih berbaki setahun.

Perkara kedua yang perlu diuruskan adalah visa dan hasil semakan yang dilakukan dengan rakan-rakan mendapati urusan permohonan visa India memerlukan tempoh tiga hari  berkerja.

Tanpa melengahkan masa esoknya awal-awal pagi penulis menuju ke sebuah agensi pelancongan yang menjadi ejen urusan visa India untuk memohon visa.

Perkara ketiga adalah tiket penerbangan. Penerbangan Malaysia (MAS) menyediakan penerbangan harian terus dari Kuala Lumpur ke Bangalore.

Namun apa yang sungguh mengejutkan adalah harga tiketnya. Bagi penerbangan tersebut yang memakan masa selama empat jam dan menggunakan pesawat Boeing 737-800 harganya RM4,360. Sungguh mengejutkan!

Penulis meminta agensi pelancongan mencari tiket lain yang lebih murah kerana harga yang ditawarkan MAS tinggi melampau.

Akhirnya penulis ditawarkan menaiki penerbangan Singapore Airlines yang mana penulis perlu terbang dari Kuala Lumpur ke Singapura dan transit di sana selama satu jam sebelum meneruskan penerbangan ke Bangalore.

Harga yang ditawarkan hanya RM2,100 dengan menggunakan pesawat Boeing 777-200 yang sudah tentu tempat duduknya lebih selesa dari Boeing 737-800.

Harga yang ditawarkan oleh Singapore Airlines kurang 50 peratus  dari apa yang ditawarkan oleh MAS.

Cuma perlukan masa tambahan dua jam. Satu jam untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Singapura dan satu jam untuk transit.

Namun jika dibandingkan dengan pengurangan yang lebih dari 50 % itu,  apalah sangat nak dikirakan dua jam tersebut.

Walaupun segala kos ditanggung oleh majikan namun penulis harus memilih harga yang terbaik kerana itu tanggungjawab kita dalam usaha menjaga kepentingan syarikat dan majikan.

Penulis meminta kebenaran majikan untuk mendapat cuti dua hari selepas dari tugas di Bangalore kerana ingin ke New Delhi untuk berjumpa rakan yang kini sedang bertugas di sana.

Dari New Delhi, penulis akan terbang ke Kuala Lumpur melalui Singapura. Untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangalore ke New Delhi dan kembali ke KL harganya RM3,000.

Masih murah jika hendak dibandingkan dengan apa yang ditawarkan MAS.

Pesawat yang membawa penulis selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarbangsa Bengaluru pada jam 9.45 malam waktu India. (2 ½ jam kebelakang dari waktu Malaysia).

Lapangan terbang tersebut tidaklah besar sangat tetapi kelihatan agak baru. Penulis tidak menghadapi banyak masalah dengan pihak berkuasa di sana dan dapat melepasinya  dengan mudah.

Pegawai imigresen juga sempat menyapa penulis dengan berkata ‘brilliant man’ sambil mengangkat ibu jari sebagai isyarat bagus apabila melihat buku A Doctor In The House (Doktor Umum) di tangan penulis yang memaparkan wajah Tun Dr Mahathir.

Buku tersebut menjadi bahan bacaan penulis semasa dalam penerbangan.  Dengan penuh perasaan bangga penulis berjalan keluar sambil membawa  buku berkenaan.

Menurut rakan-rakan yang pernah ke India, kebiasaannya imigresen India banyak soal jawab dan karenah.

Tetapi penulis tidak menghadapi semua itu dan urusannya menjadi mudah kerana sebuah buku yang memaparkan wajah Tun Dr Mahathir.

Dari sana, penulis bergerak ke Hotel ITC Gardenia di mana tempat yang sama program berlangsung.

Perjalanan ke hotel itu memakan masa lebih kurang 45 minit. Cara pemanduan orang di sana agak menakutkan bagi mereka yang tiada pengalaman di sana seperti penulis.

Jalan rayanya agak tidak rata dan banyak jalan baru sedang dibina.

Bandarnya boleh dikatakan OK.  Jauh sama sekali daripada apa yang dikatakan oleh kawan penulis bahawa bandar Bangalore bersih dan cantik seperti Kuala Lumpur.

Tidaklah bersih sangat dan tidaklah terlalu kotor. Cuacanya agak dingin lebih kurang 17 darjah Celcius pada waktu malam.

Keesokan pagi atau pada hari pertama di sana, penulis bersarapan pagi di hotel penginapan.

Ini yang memeningkan kepala penulis kerana memikirkan makanan halal. Al-maklumlah di sini bukannya bandar orang Islam. Akhirnya penulis memilih untuk makan roti bun dan sebiji parata dengan kari dal.

Ramai juga rakyat Malaysia dan Indonesia yang penulis temui di sini termasuklah Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh.

Seorang rakyat Indonesia bersama isterinya turut menyapa penulis. Perkenalan itu membuatkan kami bersembang hampir satu jam. Pasangan tersebut berada di sana kerana menghadiri kongres yang akan turut disertai oleh Datin Seri Rosmah. Rupa-rupanya mereka ini kenalan Datin Seri Rosmah, merangkap orang penting di sebalik penganjuran kongres itu.

Mereka begitu berbesar hati menjemput Datin Seri Rosmah sebagai tetamu khas. Pasangan itu juga memberitahu penulis kongres berkenaan akan diadakan di Jakarta pada tahun hadapan.

Dan mereka berhasrat untuk menjemput Datin Seri Rosmah sebagai tetamu khas yang akan menyampaikan ucaptama.

Dalam perbualan itu, pasangan berkenaan banyak memuji peranan Datin Seri Rosmah dalam menjayakan kerja amal serta kebajikan serta penglibatannya dalam beberapa badan bukan kerajan (NGO) atau pertubuhan antarabangsa.

Kata mereka lagi, peranan yang dimainkan oleh Datin Seri Rosmah menyumbang kepada nama baik Malaysia di persada dunia.

Tambah menarik, pasangan berkenaan juga tahu mengenai serangan peribadi bertubi-tubi yang dilakukan pihak-pihak tertentu dalam negara terhadap Datin Seri Rosmah, tindakan yang dianggap menghairankan bagi mereka.

Kenapa perlu diserang jika Datin Seri Rosmah dapat menyumbang kepada nama baik negara soal mereka kepada penulis.

Penulis hanya mampu menjawab politik di Malaysia 24 jam sehari, 365 hari setahun, fitnah dan persepsi adalah senjata paling utama.

Pasangan tersebut terpaksa mengundurkan diri kerana kongres hendak bermula di dewan yang terletak di bahagian atas.

Selepas itu, penulis mengambil kesempatan untuk meninjau tempat kongres berlangsung dan mendapatkan aturcara program Datin Seri Rosmah bagi menyenangkan kerja penulis pada keesokan harinya.

Jam 2 petang dan perut kembali berkeroncong dan sekali lagi kepala jadi pening memikirkan di mana tempat untuk menjamu selera.

Penulis tidak percaya kepada makanan di hotel lalu mendapatkan maklumat daripada seorang pekerja hotel tentang restoran Muslim di Bangalore.

Lalu, mereka mencadangkan kepada penulis ke sebuah restoran muslim yang terkenal di bandar itu yang terletak di Empire Hotel di MG Road iaitu lebih kurang 5km dari hotel penginapan penulis.

Perjalanan menggunakan teksi akan mengambil masa antara 20-30 minit kerana kesesakan lalu lintas. Mereka mencadangkan agar penulis menaiki auto richar atau pun di Bangkok ia dikenali sebagai tut-tut dan di Jakarta dikenali dengan nama bajaj. Perjalanan mengambil masa kurang dari 10 minit dengan tambangnya 50 Rupee atau bersamaan lebih kurang RM3.

Mengenangkan sukar untuk penulis kembali ke restoran tersebut untuk makan malam, maka penulis mengambil keputusan untuk membungkus terus makanan untuk makan malam sekali.

Datin Seri Rosmah dijangka tiba di hotel jam 10.30 malam dan penulis ke lobi untuk melihat kehadirannya yang turut dinantikan oleh ramai peserta kongres yang lain.

Beliau tiba jam 11 malam dan disambut oleh peserta kongres serta pihak hotel. Tiada aturcara untuk Datin Seri Rosmah pada malam itu dan keesokan paginya, beliau akan bersarapan pagi Alumni Institut Pengurusan Asia (AIM).

Sebelum terlupa, penulis ingin memaklumkan tujuan penulis diarahkan oleh majikan ke Bangalore adalah untuk ‘mengintip’ kegiatan Datin Seri Rosmah di luar negara.

Apakah sama seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu selama ini?

Sepanjang pengamatan penulis, ianya tidaklah seperti tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada beliau selama ini. Penulis akan kongsikan dengan pembaca sekalian.

Pada majlis sarapan pagi Alumni AIM , tiada aturcara yang ditetapkan yang melibatkan ucapan Datin Seri Rosmah.

Namun, rakan-rakannya menjemput beliau berucap dan bercakap tentang pelaburan dan ekonomi Malaysia.

Tetapi, beliau menolaknya kerana katanya beliau tidak berhak bercakap mengenai perkara tersebut dan sekiranya pihak AIM ingin mengetahuinya, mereka boleh berjumpa dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau berjumpa dengan Duta Khas Malaysia di India dan Asia Selatan, Datuk Seri S Samy Vellu atau juga berjumpa dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India.

Beliau berkata jika ingin tahu tentang kerja-kerja amal atau kebajikan beliau boleh bercakap mengenainya. Sebagai menghormati permintaan rakan-rakannya, beliau akhirnya berucap berkaitan pembelajaran yang berterusan sepertimana yang penulis telah tulis sebelum ini. (KLIK SINI UNTUK ARTIKEL YANG LEPAS).

Untuk perhatian para pembaca, kebanyakan mereka yang menghadiri majlis sarapan pagi tersebut adalah orang yang sama yang menghadiri Kongres HRD Asia 2012.

Mereka semua adalah kawan-kawan dan kenalan Rosmah yang sama-sama menjalani latihan di AIM satu masa dulu. Rosmah pernah menjalani latihan di AIM pada 1984. Turut sama dalam majlis tersebut adalah bekas Presiden Filipina , Fidel Ramos yang juga kenalan Datin Seri Rosmah.

Datin Seri Rosmah hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk ucapan tersebut dan selepas itu mereka bersarapan pagi sambil bersembang tentang kenangan-kenangan mereka di AIM serta perkembangan terkini institut berkenaan.

Turut sama bersama-sama Datin Seri Rosmah adalah beberapa ahli Bakti yang juga merupakan isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri.

Pada sebelah malamnya berlangsung majlis makan malam HRD Asia 2012 dan Datin Seri Rosmah dijemput untuk menyampaikan ucaptama.

Sebelum Datin Seri Rosmah berucap, bekas Presiden Filipina terlebih dahulu menyampaikan ucapannya dan beliau meminta semua peserta agar bersalaman antara satu sama lain bagi mengeratkan hubungan serta melahirkan penghargaan kepada Datin Seri Rosmah kerana sudi menerima jemputan penganjur bagi menghadiri kongres berkenaan.

Rosmah pula dalam ucapannya memilih tajuk MEMBANGUNKAN BAKAT UNTUK MASA DEPAN.

Mungkin ada pihak yang tidak setuju apa yang penulis hendak katakan ini. Namun apa yang penulis hendak katakan di sini adalah pendapat peribadi penulis.

Sebagai rakyat Malaysia, tersemat rasa bangga di hati penulis apabila melihat Datin Seri Rosmah berucap.

Ucapannya sungguh mantap, lancar dan tidak ada rasa gugup, kekok atau terputus-putus semasa menyampaikan ucapan, sekaligus membuatkan orang luar berasa kagum dan hormat kepada Malaysia.

Tidak lupa juga kandungan ucapannya yang menyentuh pembangunan modal insan yang menjadi teras paling utama dalam membentuk masa depan sesebuah negara.

Sudah pasti, amat penting ia dipupuk di peringkat muda untuk keperluan dalam membangunkan sesebuah negara. Kehidupan 5 tahun pertama seseorang kanak-kanak adalah tempoh yang paling kritikal dalam perkembangan seseorang manusia kerana dalam tempoh itulah, 85 peratus daripada kemahiran, intelek, personaliti dan sosial seseorang dipupuk dan dibentuk, antara intisari ucapan yang disampaikan Datin Seri Rosmah.

Itulah kali pertama penulis melihat Datin Seri Rosmah berucap di depan orang asing dan sebagai rakyat Malaysia, penulis bangga apabila beberapa peserta ditemui selepas itu memuji ucapan yang disampaikan isteri Perdana Menteri Malaysia itu.

Selesai majlis malam tersebut, penulis terus bergegas ke bilik kerana perlu mengemas barang-barang dan penulis akan meninggalkan Bangalore untuk ke Delhi seawal jam 6 pagi manakala penulis difahamkan Datin Seri Rosmah akan ke Dubai untuk menghadiri satu lagi jemputan.

Secara keseluruhannya, sepanjang mengikuti program Datin Seri Rosmah di Bangalore, penulis tidak terjumpa atau melihat perkara yang pelik atau menjengkelkan terhadap Datin Seri Rosmah sepertimana tuduhan yang dilemparkan beberapa pihak sebelum ini.

Malah penulis merasa bangga apabila melihat bagaimana orang luar mengiktiraf isteri Perdana Menteri Malaysia dengan menjemputnya menghadiri kongres yang bertaraf antarabangsa itu.

Seawal jam 6 pagi, tanggal 12 Julai, penulis bergegas meninggalkan hotel untuk menuju ke lapangan terbang untuk penerbangan ke Delhi. Penerbangan dari Bangalore ke Delhi mengambil masa dua setengah jam.

Tiba di Delhi penulis disambut oleh rakan penulis yang telah berada di Lapangan Terbang Indira Gandhi. Lapangan terbang ini baru dibuka Julai 2010 sempena Sukan Komanwel yang diadakan disana. Selama ini penulis ingatkan KLIA sebuah lapangan terbang yang sudah cukup besar tetapi rupa-rupanya Lapangan Terbang Indira Gandhi jauh lebih besar dan agak lenguh kaki berjalan dari keluar pintu pesawat hingga ke bahagian luar.

Cuaca di Delhi agak panas dan suhu 43 darjah. Penulis dibawa oleh rakan menuju ke rumahnya di Karol Bargh. Rakan penulis telah hampir dua tahun menetap disana kerana terlibat dalam projek pembangunan LRT.

Ternyata suasana di Delhi lebih teruk dari Bangalore. Yang cantik dan tersusun hanya di sekitar lapangan terbang sahaja. Delhi terbahagi kepada dua, New Delhi dan Old Delhi.  New Delhi kelihatan agak bersih walaupun tidak sebersih Kuala Lumpur.

Berbeza dengan Old Delhi yang sungguh serabut, kotor dan menjijikkan.

Melihat keadaan yang menyerabutkan dari setiap sudut termasuk keadaan trafik mengundang perasaan malas dan akhirnya penulis tidak keluar bersiar-siar pada hari pertama, sebaliknya hanya menghabiskan masa di rumah dengan berbual-bual.

Menurut rakan penulis, keadaan di Delhi sekarang agak baik selepas Sukan Komanwel 2010 kerana sebelum itu keadaannya lagi teruk.

Rakyat membuang air merata-rata tidak kira tempat, di mana ada pokok atau dinding di situ mereka akan pancut.

Hari kedua rakan penulis membawa penulis ke Palika Bazar, iaitu tempat membeli belah di bawah tanah rletak di Connaught Place, kawasan komersial yang terkenal di Delhi.

Penulis ingin membeli sedikit buah tangan untuk keluarga dan si rakan telah berpesan kepada penulis untuk membeli belah di sana, penulis harus tawar lebih dari 50 peratus dari harga barangan yang disebut oleh penjual.

Ternyata tips yang diberikan rakan penulis benar. Harga yang dibuka oleh peniaga agak gila-gila. Penulis akan minta kurang hingga ke 70-80 peratus. Jika mereka tidak berikan kita tinggalkan kedai mereka dan akhirnya mereka akan tarik kita kembali dan menjualnya kepada harga yang kita minta.

Menjelang tengahari rakan membawa penulis untuk bersolat Jumaat di Jama Masjid. Sebuah masjid yang berusia lebih 300 tahun yang terletak di Old Delhi. Penulis difahamkan Masjid itu dibina oleh Shah Jehan, orang yang membina Taj Mahal.

Kawasan sekitar Jama Masjid adalah tempat bagi orang Islam berniaga dan tempat yang mudah untuk mendapatkan makanan halal.

Bagaimanapun keadaan di sekelilingnya sungguh menyedihkan. Penulis sedih bila memikirkan kenapa tempat orang Islam begitu teruk sekali. Kotornya tidak mampu untuk penulis catatkan.

Jalan raya yang berlopak-lopak, peminta sedekah, kedai yang tiada susun atur yang baik hinggakan kedai makan pun boleh berkongsi dengan kedai tayar.

Ratusan kedai berada di sekitar kawasan tersebut. Dari kedai menjual haiwan ternakan kepada menjual daging, pakaian, restoran  hotel hinggalah kepada menjual alat ganti kereta.

Semuanya ada disana dan keadaannya sungguh menyerabutkan. Penulis hanya mampu tabahkan hati kerana ingin melihat dengan mata sendiri bagaimana keadaan di tempat orang.

Terus terang, penulis berasa sungguh sedih melihat tempat orang Islam yang begitu teruk. Walaupun penulis begitu terliur melihat kuih, manis-manisan dan air teh yang dijual, tetapi selera penulis tersekat untuk merasanya apabila melihat keadaan sekitar .

Jika peniagaan di Palika Bazar, kita boleh samakan dengan cara perniagaan di China Town Jalan Petaling di Malaysia.

Tetapi suasana kotor dan teruk di sekitar kawasan Jama Masjid tidak ada tempat yang boleh kita samakan di Malaysia. Jika kita hendak bandingkan dengan Jakarta pun tidak boleh kerana keadaan di Jakarta 10 kali ganda lebih baik.

Melihat keadaan membuatkan penulis rasa bersyukur yang tidak terhingga kerana menjadi umat Islam yang bertuah di bumi Malaysia.

Menghampiri jam 4 petang, penulis dan rakan terpaksa meninggalkan tempat itu untuk pulang ke rumah rakan kerana jam 7 malam penulis perlu ke lapangan terbang bagi pulang ke Malaysia.

Sebaik sampai di Malaysia, persolan kenapa tempat orang Islam begitu teruk terus bermain dalam benak fikiran penulis dan rasa syukur menjadi rakyat Malaysia terus bermain di hati.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");