Program Basmi Kemiskinan

Pasar terbiar jadi tumpuan penagih dadah, lokasi kegiatan maksiat

Bangunan pasar dua tingkat yang terbiar dan dikelilingi semak-samun berdekatan Taman Sri Rapat dipercayai menjadi sarang penagih dadah dan kegiatan maksiat yang kebanyakannya membabitkan golongan muda-mudi.

Ekoran itu, lebih 3,000 penduduk di kawasan itu dihantui kebimbangan apabila kegiatan jenayah seperti samun dan pecah rumah sering berlaku di kawasan kediaman mereka sejak kebelakangan ini.

Bukan sahaja kehilangan harta benda seperti wang ringgit dan barangan kemas, soal nyawa dan keselamatan penduduk turut menjadi taruhan berikutan kegiatan jenayah yang kerap berlaku tanpa mengira masa dan tempat.

Penduduk yang ditemui Peraktoday.com mendakwa selain kegiatan pecah rumah dan ragut, aktiviti mat rempit juga membimbangkan mereka yang sebelum ini hidup dalam suasana aman dan damai  di kawasan itu.

Mereka mendakwa, bangunan pasar dua tingkat yang terbiar dan dikelilingi semak-samun menjadi tempat penagih dadah melepaskan ketagihan mereka.

Tinjauan mendapati kawasan sekitar pasar dua tingkat itu terbiar dan dipenuhi dengan sampah-sarap yang bertaburan dan botol kaca yang pecah di sana-sini.

Kedudukannya yang terletak berdekatan kawasan perumahan pastinya mengundang bimbang di kalangan penduduk yang terancam dengan kehadiran penagih dadah yang menjadikan pasar itu sebagai tempat tinggal mereka.

Penduduk, Rodziah Yob Ibrahim, 63, berkata beliau berharap pihak polis dapat meningkatkan rondaan dan kawalan di kawasan itu bagi mengelak kejadian pecah rumah dan samun terus berleluasa.

Katanya, salah seorang anggota keluarganya pernah menjadi mangsa samun barangan kemas beberapa bulan lalu.

“Setiap kali keluar bekerja, saya bimbang dengan keselamatan anak yang tinggal berseorangan di rumah  kerana kejadian pecah rumah dan samun begitu kerap berlaku di sini,” katanya lagi.

Seorang lagi penduduk, Thomas Chu memberitahu sebelum kejadian jenayah berleluasa, penduduk bebas melakukan aktiviti harian seperti berjoging di kawasan perumahan itu.

Sebaliknya penduduk katanya, semakin takut keluar rumah apabila kegiatan pecah rumah dan samun sering berlaku di kawasan berkenaan.

“Saya berharap pihak polis dapat meningkatkan rondaan di kawasan ini dari semasa ke semasa bagi mengelak kejadian jenayah berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Taman Sri Rapat, Suhaimi Derais, berkata pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa keselamatan penduduk bagi memantau kegiatan jenayah di kawasan perumahan itu.

Ujarnya, melalui penubuhan jawatankuasa itu, penduduk dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi membendung kegiatan jenayah yang begitu membimbangkan sejak kebelakangan ini.

“Penduduk juga mengemukakan permohonan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membina bonggol bagi membanteras kegiatan mat rempit di kawasan ini.

“Yang paling penting, penduduk perlu segera melaporkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku kepada pihak polis untuk diambil tindakan sewajarnya,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");