Berita Hari Ini

Pemandu teksi dapat faedah PERKESO

Najib sedia kaji cadangan tingkat perkhidmatan –

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang mengkaji cadangan memberi faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada pemandu teksi.Cadangan itu dilihat munasabah kerana pada masa ini belum ada peruntukan di bawah skim PERKESO untuk melindungi rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.

Datuk Seri Najib Razak berkata, undang-undang PERKESO mengehadkan perlindungan kepada mereka yang bergelar pekerja saja dan tiada peruntukan untuk mereka yang bekerja sendiri.

“Kita sedang kaji perkara ini dan mungkin tak lama lagi boleh buat keputusan untuk dipertimbangkan.

“Tapi sebelum itu kita bantulah, bagi satu set tayar dan insurans seperti saya umumkan baru-baru ini,” kata Perdana Menteri ketika ditemubual pada rancangan Suara Kami 2012 yang disiarkan Astro Awani, malam tadi.

SPAD buat dialog
Selain itu, Najib berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sudah diarahkan untuk mengadakan sesi dialog dengan wakil persatuan teksi dalam usaha merangka model baru untuk industri perkhidmatan teksi.

Menyedari banyak kelemahan dalam sistem sedia ada, Najib berkata, model baru itu penting agar perkhidmatan teksi di negara ini lebih cekap dan memberi kepuasan kepada orang ramai.

“Kedua, kita mesti jaga kebajikan dan kepentingan pemandu teksi yang hari ini menghadapi tekanan dan saya rasa tak wajar kita kekal sistem sedia ada,” katanya.

Rancangan Suara Kami 2012 itu mengumpulkan pandangan serta cadangan rakyat pelbagai latar belakang dari seluruh negara untuk memajukan tahap kehidupan semasa masing-masing.

Suara-suara terbaik dipilih untuk hadir ke rancangan kemuncak di Astro bersama tetamu khas yang boleh memberikan susulan dan penjelasan kepada isu yang dibangkitkan.

Ditanya bagaimana beliau memastikan tiada rakyat tersisih dalam pembangunan negara, terutama dengan program transformasi yang beliau perkenalkan, Najib berkata, senjata paling berkesan adalah melalui pendidikan.

Lancar program 1M4U

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan bakal melancarkan program 1Malaysia Youth For You (1M4U) bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda menyertai aktiviti sukarela.

Melalui program itu, katanya, generasi muda bakal mendapat sokongan sewajarnya untuk melakukan aktiviti yang membawa manfaat kepada masyarakat, termasuk melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan beri sokongan dan sedikit bantuan kewangan supaya mereka boleh menyertainya.

“Misalnya nak jaga alam sekitar. Mereka boleh buat aktiviti berkenaan dan aktiviti itu akan disokong kerajaan.

“Dengan ini kita dapat semarakkan pembabitan generasi muda dan boleh memberi kesan baik dalam masyarakat. Di samping itu, dapat menggalakkan percambahan kegiatan melalui NGO,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");