Laporan Eksklusif

NMSAA Tiada Masalah Dengan Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang

North Malaysia Shipping Agents Association president Datuk Khoo Kay Huat and vice-president Ong Chiang Kheng (left) speaking at a press conference on Penang Port privatisation in George Town yesterday. Pic by Ramdzan Masiam NST

Persatuan Wakil-Wakil Perkapalan Malaysia Utara (NMSAA), pihak yang mempunyai kepentingan dalam Pelabuhan Pulau Pinang menjelaskan ia tidak menentang penswastaan pelabuhan itu.

Kenyataan ini susulan laporan berita minggu lalu yang menyatakan pihak berkenaan menentang penswastaan itu.

Ahli persatuan yang terlibat dalam bidang perkapalan, logistik dan perniagaan yang berkaitan dilaporkan tidak bersetuju dengan penswastaan itu selepas satu asesi perbincangan diadakan di Komtar yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Isnin lalu.

Presidennya, Datuk Khoo Kay Huat, berkata persatuan itu yang mewakili 65 ejen perkapalan di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak tidak mahu isu penswastaan itu dijadikan sebagai permainan politik.

“Berdasarkan kepada perkembangan terbaru berkaitan cadangan penswastaan yang mendapat bantahan daripada persatuan, maka kami ingin menyatakan pendirian iaitu samada pelabuhan ini diswastakan atau tidak, ia berada di luar bidang kuasa kami.

“Kami juga ingin menegaskan bahawa kami tidak menentang penswastaan pelabuhan ini asalkan pihak berkenaan dapat memberi kemudahan dan terus meningkatkan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Dilaporkan pada minggu lalu, kerajaan negeri yang diterajui DAP dan pihak yang berkepentingan telah bersetuju dan meluluskan lima resolusi untuk membantah dan menolak penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.

Resolusi itu menolak penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada pihak luar kerana ia tidak merujuk kerajaan negeri itu, mendesak peruntukan RM353 juta untuk mendalamkan kawasan pelabuhan untuk kapal lebih besar berlabuh, mendakwa Seaport hanya berhasrat untuk menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai ‘feeder port’ serta melakukan perubahan kepada perkhidmatan feri sedia ada. Satu lagi resolusi yang diluluskan ialah pelabuhan itu hendaklah diserahkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengurus operasi.

Khoo mendakwa resolusi itu dibuat tanpa merujuk kepada pemegang saham.

Naib Presidennya, Ong Chiang Kheng, yang menghadiri mesyuarat di Komtar, berkata persatuan itu tidak bersetuju dengan beberapa terma dalam resolusi itu.

“Ia kelihatan seperti ada persefahaman dan persepakatan antara mereka yang berkepentingan mengenai resolusi itu tetapi secara jujurnya ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, persatuan itu mendapati resolusi telah disiapkan lebih awal dan merasakan ada bayangan dan campur tangan politik dalam isu itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");