Laporan Eksklusif

Pengesanan awal kanak-kanak berbakat besar dan semulajadi penting: DS Rosmah

Pengesanan awal kanak-kanak yang memiliki bakat besar dan semulajadi yang disokong dengan persekitaran kondusif dan program pendidikan akan melahirkan modal insan yang mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan seterusnya kejayaan negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, berkata hari ini, semakin banyak negara di dunia ini memberi perhatian terhadap pendidikan untuk kanak-kanak berbakat besar dan semulajadi kerana menyedari kepentingannya.

Adalah penting juga katanya, usaha penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan program pendidikan yang dirancang bergerak seiring dengan perubahan semasa.

“Ahli keluarga, pendidik, penyelidik, kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama untuk berbincang dan mencari jalan terbaik untuk mengenalpasti serta memupuk bakat besar dan semulajadi di kalangan kanak-kanak.

“Jika diabaikan, kita akan kehilangan peluang untuk membangunkan bakat kanak-kanak ini hingga ke tahap yang sepenuhnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena Persidangan Asia Pasifik Mengenai Bakat Semulajadi Ke-12 yang bertemakan Mengoptimumkan Potensi Anugerah dan Bakat Semulajadi Ke-12 di Dubai, hari ini.

Rosmah berkata, kanak-kanak yang berbakat besar mempunyai bakat yang jarang dimiliki kanak-kanak yang berusia sebaya mereka tetapi ia tidak menjamin kejayaan.

“Oleh itu, pengesanan awal kanak-kanak yang kemudiannya digabung-jalin dengan persekitaran yang sesuai, sokongan serta pendidikan mampu melahirkan modal insan yang menyumbang besar kepada kejayaan negara.

“Kini, kita hidup di waktu di mana memiliki bakat dalam sesebuah institusi menjadi satu keperluan dalam menyelesaikan masalah di abad ke 21 yang akan berhadapan dengan perubahan cuaca, peperangan, masalah sosial, kekurangan makanan, kemiskinan dan ketidakadilan gender,” katanya lagi.

Menurut Rosmah lagi, adalah menjadi cabaran dan tanggungjawab kepada semua untuk menyediakan kemudahan dan insfrastruktur supaya kanak-kanak yang berbakat besar dan semulajadi ini dapat mengecapi kehidupan dengan sepenuhnya.

“Setiap daripada kita memiliki potensi untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam masyarakat dan negara bagi memupuk serta mendidik kanak-kanak yang berbakat besar dan semulajadi ini demi kebaikan manusia sejagat,” katanya lagi.

Tegasnya, pepatah Cina ada menyebut:

“Jika anda berfikir untuk satu tahun ke hadapan, tanam biji benih. Jika anda berfikir untuk satu dekad ke hadapan, tanam pokok dan jika anda fikir satu abad ke hadapan, didiklah rakyat,” katanya.

Tambahnya, ini sangat penting dalam usaha mendidik kanak-kanak terutamanya bagi mereka yang berbakat besar dan semulajadi.

Dalam perkembangan berkaitan, DS Rosmah turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Dubai di atas komitmen yang ditunjukkan negara itu dalam menyemai bakat besar dan semulajadi dengan menganjurkan persidangan yang berprestij itu.

“Melalui persidangan ini juga, perbincangan dan usaha dapat diperkenalkan untuk menyediakan program pendidikan bagi mendidik kanak-kanak yang berbakat besar dan semulajadi.

“Fokus utama kepada pendidikan untuk bakat besar dan semulajadi ini jelas menunjukkan kerajaan Dubai meletakkan usaha mengenalpasti bakat yang unik sangat penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan daya saing negara itu,” kata DS Rosmah lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");