Perak Hari Ini

Perak negeri terawal selesai isu tanah rizab Orang Asli

Kerajaan Perak sentiasa komited dalam menyelesaikan masalah serta melindungi hak dan kepentingan masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Buktinya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mengesahkan bahawa Perak antara negeri terawal yang berjaya selesaikan isu tanah rizab orang asli yang sering menjadi mangsa kepada kegiatan pencerobohan tanah haram.

“Kita merupakan antara negeri terawal selesaikan masalah tanah rizab dimana perkara tersebut diberikan kepada Perdana Menteri ketika lawatannya ke Perak,” kata beliau.

Beliau berkata, proses penyelesaian masalah tanah rizab tersebut melibatkan penempatan masyarakat pribumi itu di sekitar negeri Perak.

“Proses itu sedang berjalan dengan lancar dan hanya terdapat beberapa kawasan baru masuk yang didaftarkan kepada Pejabat Daerah dan dipanjangkan kepada kerajaan negeri yang masih belum selesai,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Kenang, Sungai Siput hari ini.

Selain isu tanah rizab Orang Asli, Dr Zambry berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap beberapa masalah yang dilihat menggangu proses pembangunan penempatan Orang Asli dari suku kaum Temiar itu.

“Kedatangan saya pada kali ini juga untuk melihat beberapa perkara serta meneliti masalah mereka.

“Saya dimaklumkan oleh Tok Batin bahawa kawasan ini tidak mempunyai talian komunikasi…..mungkin kita boleh minta syarikat telekomunikasi mewujudkan menara telekomunikasi bagi  membolehkan kawasan ini mendapat liputan,” jelasnya.

Di samping itu, jambatan yang menjadi penghubung laluan ke kampung tersebut dilihat semakin uzur dan perlu dinaik taraf sebelum berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

“Walaupun jambatan tersebut masih boleh digunakan, keadaannya semakin uzur jadi saya akan minta pihak kami meneliti jumlah kos yang diperlukan untuk membaiki jambatan itu,” ujar Dr Zambry lagi.

Walaupun dibayangi masalah itu, beliau menyifatkan perkampungan itu sebagai salah satu penempatan Orang Asli yang berjaya.

“Kehidupan mereka di sini begitu sistematik serta berkembang baik dengan wujudnya prasarana yang tersedia seperti sekolah kebangsaan dan sekolah agama rakyat,” tambahnya lagi.

Dalam majlis tersebut, Dr Zambry menyampaikan sumbangan berupa komputer kepada Tok Batin bagi memudahkan mereka menulis surat untuk sebarang urusan rasmi mahupun tidak rasmi.

Sebelum itu, beliau bersama-sama penduduk orang asli mengerjakan solat Maghrib serta Isyak secara berjemaah dan Dr Zambry kemudiannya mengajarkan dua kalimah syahadah kepada tiga saudara baru di surau kampung tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");