Laporan Eksklusif

Persembahan Anak Permata Seni Di Dubai Gamit Perhatian Ramai

Persembahan kebudayaan berwarna-warni yang dijayakan 70 anak-anak Permata Seni menarik perhatian peserta Persidangan Asia Pasifik Mengenai Bakat Semulajadi Ke-12 di Dubai.

Isteri Perdana Menteri yang juga merangkap Penaung PERMATA, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mengetuai Malaysia ke persidangan itu yang dirasmikan hari ini.

Terdiri kanak-kanak berumur antara 7 hingga 15 tahun, kesemua mereka mempamerkan persembahan yang mengagumkan peserta dengan 20 persembahan.

Mereka terdiri 22 orang anak-anak Permata Seni Muzik, 20 orang anak-anak Permata Seni Tari dan 24 anak-anak Permata Seni Koir.

Peserta dan tetamu khas yang menghadiri persidangan itu nyata terhibur dengan persembahan anak-anak Permata yang antara lain mempersembahkan tarian tradisional Melayu seperti zapin dan koir.

Permata Seni adalah salah satu daripada program PERMATA yang melibatkan usaha sama antara pusat PERMATA Negara dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Ia terbahagi kepada dua program iaitu Permata Seni Muzik yang dikelolakan oleh Istana Budaya (IB) dan Permata Seni Koir yang dikendalikan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Program Permata Seni telah dilancarkan pada 11 Januari 2010 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) oleh DS Rosmah.

Ahli-ahli Permata terdiri daripada kanak-kanak yang terpilih serta cemerlang dalam akademik, seni Koir dan Muzik yang berusia antara 7-12 tahun, manakala bagi Permata Seni Muzik berusia antara 8-15 tahun.

Sempena persidangan itu juga, DS Rosmah diberi penghormatan menyampaikan ucapan pembukaan hari ini dan ucaptama bertajuk Mengoptimakan Potensi Anugerah dan Bakat esok pada persidangan lima hari itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai (DICEC).

Persidangan itu dianjurkan Anugerah bagi Pencapaian Cemerlang Akademik Hamdan bin Rashid Al Maktoum di bawah naungan Pesekutuan Asia Pasifik Mengenai Bakat Semulajadi, sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan bagi pembangunan dan pendidikan kanak-kanak berbakat besar dan semula jadi.

DS Rosmah disenaraikan oleh penganjur sebagai antara pengamal yang telah memberi sumbangan terhadap pemikiran inovatif bagi mereka yang dikurniakan bakat semulajadi.

Menggunakan tajuk Memupuk Bakat, Membina Potensi, Memanfaatkan Modal Insan Pada Peringkat Awal dan Memupuk Bakat melalui Pendidikan, persidangan itu dijadual dirasmikan Sheikh Hamdan Al Rashid Al Maktoum, Timbalan Pemerintah Dubai dan Menteri Kewangan UAE.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");