Jenayah

Polis Melaka Berjaya Tumpaskan Geng Azizi Botak

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin DSP Shahidi Abdullah (kanan) menunjukkan barang rampasan dari Geng Azizi Botak melibatkan dua lokasi berbeza di sekitar Merlimau pada sidang media yang diadakan.

JASIN: Polis berjaya menumpaskan geng “Azizi Botak” dianggotai empat remaja lelaki kurang 30 jam selepas terlibat dalam dua jenayah pecah rumah di lokasi berlainan sekitar Merlimau di sini, Jumaat lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Shahidi Abdullah berkata keempat-empat remaja termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai Azizi Botak berusia antara 14 hingga 15 tahun itu ditahan dalam empat lokasi berbeza di sekitar Merlimau pada 29 Jun lepas.

Katanya, kesemua suspek terdiri seorang pelajar tingkatan empat dan tiga lagi tidak bersekolah itu ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Batu 15 Jalan Jasin mengakibatkan kerugian berjumlah RM3,500 pada 27 Jun.

Menurut Shahidi, mereka juga dipercayai masuk ke sebuah kedai menjual dan membaiki telefon di Bandar Baru Merlimau sehari selepas itu melarikan tiga telefon bimbit milik pelanggan dan 23 bateri telefon terpakai.

“Tangkapan pertama ke atas ketua kumpulan di rumahnya di Merlimau dan polis menemui semula kesemua barang curi termasuk empat buah basikal yang dipercayai dicuri di sekitar daerah Jasin baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Shahidi berkata modus operandi kumpulan tersebut ialah secara salah seorang daripada mereka masuk melalui tingkap belakang atau bumbung premis sebelum membuka pintu hadapan bagi membolehkan rakannya masuk.

Beliau berkata berkata siasatan awal mendapati kumpulan tersebut turut terlibat dalam tiga lagi kes pecah rumah di sekitar Merlimau dan percaya dengan tangkapan itu dapat membantu polis menyelesaikan kejadian jenayah di kawasan berkenaan.

Katanya, kesemua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif ujian air kencing itu direman selama selama enam hari bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");