Jenayah

Polis tumpas sindiket curi data akaun bank, kad kredit

NIBONG TEBAL: Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri data akaun bank dan kad kredit yang bergiat aktif di negeri ini sejak tahun lalu selepas menahan tiga lelaki dalam satu serbuan pada 22 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata bertindak hasil maklumat dan risikan sejak enam bulan lalu, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Pulau Tikus, dekat sini dan menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20 tahun hingga 30 tahun.

“Modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah memasang satu alat tambahan pembaca magnetik yang menyerupai slot kemasukan kad Mesin Juruwang Automatik (ATM) bagi mendapatkan data kad debit dan kredit pelanggan bank.

“Mereka juga akan memasang satu unit kamera yang menggunakan bateri telefon bimbit atau kamera jenis tanpa wayar di mesin ATM berkenaan bagi merakam nombor pin yang dimasukkan pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan (SPS), di sini, hari ini.

Katanya, selepas memperoleh data kad debit dan kredit berkenaan, sindiket terbabit akan mengklonnya untuk mengeluarkan wang serta pembelian barang di Thailand dan Taiwan.

Abdul Rahim berkata, tiga bank membuat laporan polis berhubung kegiatan sindiket berkenaan dan kerugian dianggarkan lebih RM100,000.

“Sehingga kini juga lebih 50 pelanggan bank membuat aduan kepada pihak bank berhubung pengeluaran wang dan pembelian barang melalui kad debit bank di lakukan di Thailand dan Vietnam,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya komputer riba, 14 kad Smile Esso Mobil, 3 kad putih mengandungi jalur magnetik, dua slot kad plastik berwarna kelabu dan hijau menyerupai slot kad ATM dua buah bank dan satu unit kamera serta komponen kamera yang diubah suai.

Katanya, ketiga-tiga lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat atau denda.

Orang ramai diminta membuat laporan polis jika berlaku transaksi pengeluaran wang yang meragukan atau mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dipasang di mesin ATM.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");