Perak Hari Ini

Tepis rasa benci sesama sendiri dalam parti: Ahmad Zahid

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan ahli UMNO supaya membuang jauh perasaan iri hati, cemburu dan hasad dengki yang boleh menjurus kepada kekalahan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, sifat negatif  yang wujud di kalangan ahli UMNO itu bukan sahaja menunjukkan kelemahan tetapi juga membuka ruang kepada pembangkang untuk melancarkan serangan.

“Perasaan takut dan cemburu yang berlaku menyebabkan kekuatan parti pembangkang yang tidak seberapa itu mendapat suntikan di sebalik kelemahan yang berlaku dalam pentadbiran UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2012 di Dewan Jubli Perak MPKK, dekat Kuala Kangsar, hari ini.

Zahid berkata, hasil kajian yang dilakukannya sendiri, perbalahan antara satu sama lain serta masalah dalaman seperti tidak percaya antara satu sama lain wujud dalam sebahagian daripada 199 UMNO bahagian di seluruh negara.

“Faktor kedua ialah kita bergaduh sesama sendiri… Ketua Bahagian tidak percaya kepada Ketua Wanita, Ketua Puteri mahupun Ketua Pemuda,” katanya sambil menegaskan kajian itu dibuat selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Meskipun kebencian terhadap parti UMNO berjaya ditanam oleh pembangkang, pemimpin parti masih tidak tergugat malah begitu selesa dengan kuasa yang di pegang di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Kegagalan demi kegagalan ditanam oleh mereka (pembangkang), tetapi dalam UMNO atau BN kita rasa selesa, kita rasa ‘complacent’ apabila ada budaya kebencian,” tegasnya.

Di samping itu, Ahmad Zahid turut melihat situasi ‘winnable candidate’ ataupun ‘calon boleh menang’  sebagai faktor yang boleh menentukan kemenangan atau kekalahan parti.

Katanya, apabila ‘winnable candidate’ itu tidak terpilih menjadi calon yang bakal bertanding, teori kepimpinan atau ikutan akan berlaku, sekaligus menjadi faktor penyumbang kepada kekalahan UMNO serta BN.

“Winnable candidate yang tidak terpilih ini akan meminta penyokongnya untuk tidak mengundi ‘winnable candidate’ yang telah dipilih.

“Calon yang dianggap ‘unwinable candidate’ tidak akan diundi seterusnya menyebabkan kekalahan dan kurangnya undi,” jelas beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");