Sukan Hari Ini

Chong Wei berhempas pulas

Lee Chong Wei membalas hantaran pemain Finland, Ville Lang dalam perlawanan di Arena Wembely, London semalam.

LONDON – Tekanan hebat dan kurang keyakinan memaksa Datuk Lee Chong Wei diheret ke set penentuan sebelum menang pada aksi pertamanya dalam acara perseorangan lelaki selepas dua setengah bulan menyepikan diri tanpa kejohanan kompetitif di Arena Wembley di sini, semalam.

Chong Wei menang 21-8 dalam set pertama biarpun mempamerkan gaya perlahan sebelum tewas 14-21 tetapi bangkit semula dalam set penentuan 21-11 untuk mengatasi pemain Finland, Ville Lang.

”Saya berasa tertekan dan banyak buat kesalahan mudah. Saya tahu saya tidak bermain bagus pada malam ini (semalam) selepas dua setengah bulan tanpa kejohanan gara-gara kecederaan buku lali.

”Bukan mudah untuk saya kembali seperti sebelum ini selepas dua setengah bulan menjalani rawatan pemulihan.

”Saya akui saya perlu mencari semula rentak dahulu. Saya perlu tetapkan minda saya. Kekurangan ini menyebabkan saya tewas pada set kedua sebelum meningkatkan kelajuan permainan pada set ketiga,” katanya selepas perlawanan semalam.

Chong Wei bermula baik pada set kedua, namun selepas beberapa kali bertukar servis, langkahnya tersekat pada kedudukan 14 mata sebelum Lang meninggalkan lawannya untuk kemenangan 21-14.

Pemain No. 2 dunia itu bagaimanapun mengubah rentak permainan pada set penentuan dengan hantaran-hantaran lebih kemas sebelum menamatkan permainan 21-11.

”Apabila saya memasuki set ketiga, saya kata saya mahu menang perlawanan ini. Saya terus mengajak dia bermain laju dan dia (Lang) sering kali terperangkap dengan hantaran ke belakang apabila smash yang dilakukannya sering tersangkut pada jaring,” ujar Chong Wei.

Mengulas pertemuan selepas ini menentang pemain Indonesia, Simon Santoso, Chong Wei berkata, dia memiliki rekod baik menentang lawannya itu dan hanya kalah sekali.

”Saya mahu cuba menang. Kali terakhir saya kalahkan dia ialah pada Super Series. Apa yang saya mahu lakukan ialah menyediakan mental saya supaya kembali kuat.

”Saya berharap dapat bermain dengan baik dari satu perlawanan kepada satu perlawanan selepas ini.,” katanya.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");