Jenayah

Cubaan kali kelima gagal

Keadaan kedai emas di Jalan Tun Razak yang cuba dipecah masuk oleh sekumpulan perompak, semalam.

IPOH – Empat kali sebuah kedai emas di Taman Cherry, Jalan Tun Abdul Razak, di sini, dipecah masuk dan semuanya berlaku pada bulan Ogos.

Bagaimanapun, cubaan kelima dilakukan sekumpulan perompak yang ingin memecah masuk premis berkenaan semalam, gagal.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, kumpulan tersebut terpaksa melarikan diri kerana penggera keselamatan di kedai emas tiba-tiba berbunyi ketika mengumpil bahagian tengah pintu pagar besi premis berkenaan.

Pemilik kedai, Varusai Ibrahim Mohd Hanifah berkata, kejadian itu merupakan cubaan kelima kedainya dipecah masuk setelah beroperasi sejak 33 tahun lalu.

Menurutnya, tiada barang berharga hilang dalam kejadian itu setelah dia meningkatkan tahap keselamatan kedai tersebut.

“Saya menerima isyarat kecemasan setelah penggera berbunyi dan setelah memeriksa melalui internet, tiada apa-apa berlaku dalam kedai saya.

“Saya bergegas ke premis pagi ini setelah menerima panggilan daripada pekerja kedai sebelah memberitahu terdapat kesan kopak di pintu kedai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan,” katanya.

Modus operandi kumpulan itu hampir sama dengan kejadian Jumaat minggu lalu apabila sebuah kedai perabot dan aksesori kereta di Taman Perdana, Jalan Kuala Kangsar dipecah masuk dengan mengumpil pagar besi kedai tersebut serta melarikan wang tunai berjumlah lebih RM3,000.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");