Berita Hari Ini

IPU tak sihat dicatat di Pelabuhan Klang, Kuala Selangor

KUALA LUMPUR: Lembah Klang masih dibelenggu masalah jerebu dengan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor merupakan dua kawasan yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sehingga 11 pagi tadi dengan masing-masing mencatat bacaan 101 dan 102.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan hari ini berkata 12 kawasan mencatatkan IPU baik, 38 kawasan IPU sederhana dan dua kawasan mencatat IPU tidak sihat.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301).
Antara kawasan mencatat IPU tertinggi ialah Cheras, Kuala Lumpur (90), Batu Muda, Kuala Lumpur (88), Petaling Jaya, Selangor (86), Seri Manjung, Perak (80), Banting, Selangor (78), Shah Alam, Selangor (77), Nilai, Negeri Sembilan (77), Seberang Jaya 2, Perai, Pulau Pinang (73) dan Bukit Rambai, Melaka (73).

Menurut JAS imej satelit yang dikeluarkan oleh Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia adalah sebanyak 20.

Imej satelit itu bagaimanapun tidak lengkap kerana dipengaruhi angin monsun barat daya yang bertiup dari kawasan titik panas (kawasan pembakaran terbuka di Sumatera) yang membawa asap jerebu merentasi sempadan dan menyebabkan kemorosotan kualiti udara di kawasan pantai barat Semenanjung.

“Ia telah menyebabkan kemerosotan kualiti udara di pantai barat Semenanjung Malaysia khususnya di Pelabuhan Klang. Berdasarkan maklumat dari Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan panas dan kering di rantau ini akan berpanjangan sehingga Oktober depan,” kata JAS.
Sehubungan itu, JAS telah pun menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri bagi mempertingkat pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) dalam usaha memantau status kualiti udara di seluruh negara.

Semalam, JAS telah menerima sebanyak 10 kes aduan pembakaran terbuka dengan empat kes melibatkan pembakaran kecil-kecilan daripada aktiviti pertanian, empat kes melibatkan kebakaran sampah sarap dan dua kes kebakaran belukar.

Semua aduan berkenaan telah disiasat dan diambil tindakan.

JAS juga turut mempertingkatkan pelaksanaan SOP Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara tempatan.

Selain itu, orang ramai diingatkan bahawa Perintah Larangan Terbuka bagi kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Tudan, Permai Jaya, Kuala Baram di Miri, Sarawak, masih berkuat kuasa dan dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka.

Orang ramai boleh memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian 1-800-88-2727.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");