Laporan Eksklusif

Kerajaan Selangor Terpaksa Berhutang Beri Air Percuma Kepada Rakyat?

SATU demi satu kepincangan dan kelemahan kerajaan negeri dalam mengurus bekalan air bersih di Selangor terbongkar hingga  membawa kepada krisis air yang semakin meruncing dewasa ini.

Di sebalik laungan pemberian air percuma yang kononnya dinikmati seluruh rakyat Selangor, Barisan Nasional (BN) Selangor mendapat maklumat kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terpaksa membuat pinjaman hingga RM300 juta setahun dengan kadar faedah sebanyak RM8 juta bagi tujuan memberi air percuma.

Koordinatornya, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, menegaskan pada masa sama, bukan semua penduduk Selangor mendapat nikmat air percuma yang dijanjikan, sekaligus membuktikan kerajaan negeri sebenarnya tersepit dengan janji-janji mereka sebelum ini.

“Adakah ini satu langkah pentadbiran yang bijak apabila kerajaan negeri terpaksa berhutang dengan pihak bank untuk memberikan air percuma dan bagaimanakah pelan kerajaan negeri untuk melangsaikan hutang tersebut?

“Adakah kerajaan negeri tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk melaksanakan pemberian air percuma seperti yang dijanjkan sehingga terpaksa berhutang?

“Jangan sampai nanti kita menjadi seperti Cerita Pak Kaduk, yang terpaksa menggadai negeri demi untuk melunaskan hutang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau berkata, hakikatnya, kerajaan negeri Selangor tidak mampu untuk mentadbir dan menguruskan ekonomi dengan baik hinggakan isu penting seperti pengurusan air juga tidak dapat diselesaikan dengan mudah.

Selain itu, BN Selangor juga tegas Mohd Zin turut mendapat maklumat bahawa saham 15% yang dimiliki oleh KDEB dalam Syabas dicagarkan kepada sebuah bank bagi tujuan mendapatkan pinjaman sebanyak RM250 juta bagi kegunaan tertentu.

Persoalan yang ingin dibangkitkan ialah adakah pihak kerajaan negeri hingga terpaksa mencagarkan saham KDEB dalam Syabas untuk membuat pinjaman?

Jika benar ini berlaku, mampukah kerajaan negeri ingin mengambil alih Syabas kerana saham berjumlah 15% pun tidak mampu untuk diuruskan dengan baik inikan pula sebuah syarikat pengagihan air yang begitu penting sekali?

“Adakah ini merupakan sikap good governance dan contoh tadbir urus yang beretika?

“Adakah niat sebenar pengambilalihan Syabas hanya untuk menutup kelemahan Kerajaan Negeri dan apakah tujuan pinjaman tersebut dilakukan?,” soalnya lagi.

Tambah beliau lagi, isu air terus dipolitikkan oleh pihak Pakatan dan kerajaan Negeri Selangor malah mengelirukan rakyat bagi mendapatkan political milage.

Katanya, krisis Air yang berlaku di Selangor dijadikan mainan politik dan fakta bahawa lebih kurang 234 projek pembangunan terpaksa ditangguhkan kerana tiada jaminan bekalan air dapat disediakan langsung tidak dinafi oleh pihak kerajaan.

“BN Selangor juga kecewa dengan sikap exco Selangor, Au Yong Heng Hua yang melakukan demonstrasi di pejabat Syabas Kajang seolah-olah masalah air ini bukan berpunca dari kelemahan Kerajaan Negeri.

“Adakah beliau lupa bahawa beliau kini merupakan kerajaan yang memerintah? Adakah beliau tidak tahu tanggungjawab kerajaan negeri ialah menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat? Kenapakah beliau cuba mengelirukan rakyat tentang isu ini?,” katanya lagi.

Mohd Zin juga berkata, sebelum ini beliau pernah menyatakan bahawa Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) iaitu salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri mempunyai 15% saham dalam Syabas dengan seorang wakil dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Oleh itu, alasan bahawa kerajaan negeri tidak tahu menahu mengenai krisis air ini langsung tidak masuk akal dan seperti sengaja dipolitikkan oleh mereka, katanya.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, Pengarah KDEB, Suhaimi Kamaralzaman telah mengeluarkan surat arahan kepada pihak ABASS pada tahun 2011 supaya mengurangkan pengeluaran air terawat daripada 145 juta gallon sehari kepada hanya 120 juta gallon sehari.

“Tindakan ini menyebabkan berlakunya krisis air di kawasan Kajang dan Balakong memandangkan ABASS mengendalikan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih,” kata Mohd Zin lagi.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan Suhaimi yang mengeluarkan arahan tersebut kepada ABASS, seolah-olah pihak KDEB atau kerajaan negeri ingin melakukan sabotaj terhadap rakyat Selangor dan Syabas?

Katanya, kenapa pihak Syabas yang disalahkan sedangkan kawasan yang mengalami gangguan dikendalikan oleh ABASS?

“Siapa yang mengarahkan Suhaimi supaya mengeluarkan arahan tersebut?

“Oleh itu, saya minta supaya pihak yang bertanggungjawab memberi penjelasan dan menjawab persoalan ini kerana sebelum ini kerajaan negeri hanya menuding jari dan menyalahkan pihak lain jika berlakunya krisis air terutamanya di kawasan Kajang dan Balakong,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");