Jenayah

Kes jenayah Perak terkawal, kurang 20 kes sehari

Kes jenayah yang berlaku di Perak masih terkawal dengan kurang 20 kes dilaporkan setiap hari, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata kes kecurian motosikal lebih banyak dilaporkan berbanding kes jenayah pecah rumah, ragut dan samun.

“Saya tidak ada menyorokkan apa-apa statistik, kes jenayah di Perak memang masih lagi dalam kadar bawah 20 kes satu hari.

“Kes pecah rumah ada berlaku tapi ia tidak berlaku pada setiap jam, kadang-kadang sebulan sekali. Kalau berlaku setiap jam itu satu pembohongan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bungkusan kuih raya kepada pasukan keselamatan di Ipoh, hari ini.

Mohd Shukri mengulas demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa kes pecah rumah di Perak semakin berleluasa.

Shukri tidak menolak kemungkinan dakwaan itu merupakan usaha pihak tertentu untuk melemah dan menidakkan keupayaan pasukan polis.

Bagaimanapun, beliau berkata polis akan terus berusaha membanteras kes-kes jenayah di negeri ini termasuk bekerjasama dengan pasukan Rela, Polis Bantuan dan sukarelawan polis selain meningkatkan rondaan di kawasan ‘panas’.

“Pendekatan yang kita lakukan ini adalah bagi memastikan kadar jenayah dapat diturunkan. Pihak polis akan terus meyakinkan orang ramai bahawa jenayah yang berlaku terutama pada musim perayaan dapat ditangani,” katanya.

Ketika ditanya mengenai laporan akhbar baru-baru ini yang menyatakan kawasan Bercham di sini merupakan kawasan ‘panas’, Shukri berkata polis menggunakan segala elemen dalam pasukan keselamatan itu bagi membanteras jenayah.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");