Kolumnis

Kilas: Kompromi Islam, hudud demi raih sokongan

Oleh Razak Rashid Ghows: –
SETIAP kali menjelang pilihan raya, PAS dan DAP akan bermain sandiwara politik berhubung isu hukum hudud.

Tujuannya untuk meyakini pengundi masing-masing berhubung cadangan PAS untuk melaksanakan undang-undang berkenaan yang sehingga sekarang hanya berupa cakap-cakap politik semata-mata.

Umumnya DAP dan PAS bukan gandingan sesuai dalam pakatan pembangkang kerana kedua-dua parti politik itu mempunyai ideologi dan dasar yang amat berbeza. Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila pemimpin parti terbabit membincang soal hukum Islam dan hudud.
PAS sudah lama cuba memperalatkan Islam dalam perjuangan politiknya, dari zaman dulu lagi sehingga timbul ‘fatwa politik’ bahawa orang Islam yang tidak menyokong PAS tidak akan masuk syurga. Ternyata perjuangan PAS tidak selari sama sekali dengan DAP, sebuah parti cauvinis Cina yang tidak langsung layak untuk membincangkan soal Islam.

Namun demi kepentingan politik, PAS dan DAP sanggup berkompromi dalam isu tertentu terutama perkara yang menyentuh kepentingan agama Islam, sehingga mendorong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengubah dasar perjuangan parti itu kepada negara berkebajikan pada Muktamar Agung PAS ke-57 Jun tahun lalu.

Selepas begitu lama melaungkan perjuangan Islam, baru sekarang parti itu menyatakan kewujudan negara Islam tiada dalam al-Quran, dan yang ada cuma negara kebajikan.

Akhir-akhir ini pemimpin DAP pula sibuk memperkatakan mengenai hukum hudud yang gagal dilaksanakan kerajaan PAS di Kelantan walaupun sudah 22 tahun memerintah negeri berkenaan.

Justeru, kita mendapati pertelagahan pendapat antara beberapa pemimpin PAS dan DAP itu tidak lebih daripada hanya lakonan dalam opera klasik Cina.

Sebelum ini, anggota Majlis Syura PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dilaporkan menyatakan usaha untuk menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang Islam masih lagi menjadi agenda utama parti berkenaan.

Kenyataan Mahfodz itu mengundang reaksi daripada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang memberi amaran bahawa kenyataan bercanggah dalam kalangan pemimpin PAS berhubung hukum hudud boleh menjejaskan peluang pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum.

Karpal juga berasa tersinggung dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi bahawa sesiapa yang menentang hudud adalah kufur.

Dalam laporan New Straits Times kelmarin, Karpal memberi amaran kepada Nasrudin supaya menjaga tutur katanya.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya percaya kepada Tuhan. Hanya ada satu Tuhan saja dan ini dianjurkan oleh semua agama. Tiada sesiapa pun, tiada mana-mana organisasi pun seharusnya mendakwa ia boleh memonopoli Tuhan,” kata Karpal.

Oleh kerana kedua-dua pihak sedar bahawa perhubungan di antara mereka hanya ‘keselesaan politik’ yang disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kemudiannya, maka mereka berasakan perlu soal hudud ini dibangkitkan semula bagi meyakinkan penyokong masing-masing.

DAP mahu pengundi Cina tahu bahawa mereka menentang sebarang usaha untuk memperkenalkan undang-undang Islam di negeri yang diperintah pembangkang mahupun sehingga ke peringkat Pusat.

PAS pula sejak berzaman mengaitkan parti itu dengan Islam sehingga sanggup mengkafirkan orang UMNO, bersembahyang dua imam dan mengakibatkan masyarakat Melayu berpecah belah. Malah suami isteri pun terpaksa berpisah seperti yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini kerana ketaksuban anggotanya.

Pendirian tegas PAS dalam perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam selama ini menyebabkan masyarakat bukan Melayu berasa takut dan cemas jika parti itu diberi kuasa selepas pilihan raya.

Keadaan ini mendesak pemimpin parti terbabit untuk merangka strategi agar pengundi PAS tidak lagi bimbang dengan perjuangan untuk menegakkan Islam sementara penyokong DAP pula lega dengan bantahan pemimpin parti berkenaan berhubung hasrat rakannya dalam pakatan pembangkang.

– BERITA HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");