Sukan Hari Ini

Masa terbaik untuk Azizulhasni meledak

LONDON – Perancangan dan persediaan rapi yang dibuat Mohd. Azizulhasni Awang selepas berakhirnya Sukan Beijing 2008 akan menjadi pentas menilai kemampuan sebenar pelumba berbasikal trek negara itu apabila turun membawa cabaran Malaysia dalam acara pecut Sukan Olimpik hari ini.

Di Beijing ketika itu Azizulhasni masih cetek pengalaman, meskipun melakukan kejutan mara ke suku akhir sebelum tewas kepada juara Chris Hoy.

Namun di London kali ini pelumba yang diberi gelaran The pocketrocketman itu jauh lebih matang dan sejak persiapan awal di bawah jurulatih John Beasley hanyalah untuk menyediakannya ke temasya 2012.

Pelumba Terengganu ini cukup yakin dengan kemampuannya beraksi hari ini, malah dari segi perancangan masa yang diatur untuk dirinya Azizulhasni memberitahu, dia sudah bersedia untuk mengerah seluruh kudratnya seperti mana yang dimahukan oleh Beasley tepat pada masanya.

Dalam acara pecut hari ini Azizulhasni akan bersaingan dengan 17 pelumba lagi termasuk jaguh dunia dari Perancis, Gregory Bauge.

Selain pecut, Azizulhasni juga akan berlumba dalam acara kegemarannya, keirin.

Pemilihannya untuk mengambil bahagian dalam dua acara pada temasya ini mengambil kira pencapaiannya sepanjang perlumbaan tahun ini walaupun mengikut perancangan awal menempatkan Josiah dalam pecut individu.

Josiah diletakkan sebagai pelumba simpanan dan rakan berlatih Azizulhasni

“Harapan saya dari awal mahu menang pingat. Saya akan berusaha untuk negara dan bukan diri saya semata-mata. Kalau dulu saya cukup ghairah semasa berlumba di Beijing, kini saya lebih selesa selaku underdog kerana saya tidak mahu meletakkan diri saya dalam keadaan tertekan,” katanya.

Azizulhasni merupakan pemenang pingat emas keirin dan 200 meter pecut pada Kejuaraan Asia 2008 manakala dalam acara keirin di Beijing 2008, dia menduduki tangga kelapan dan untuk temasya London, dia menjadi antara atlet yang diletakkan sebagai prospek menyumbang emas.

Pada Kejohanan Dunia 2009 di Pruzkow, Poland Azizulhasni menjadi satu-satunya atlet Malaysia yang menang pingat perak dalam acara pecut.

Dia diberi gelaran Pocketrocketman kerana saiz badannya yang kecil.

Dalam pada itu, pengurus pasukan berbasikal trek negara, Datuk Naim Mohamad berkata, beliau gembira kerana persiapan perlumbaan yang dibuat oleh Azizulhasni mengikut perancangan dan kemampuan pelumba itu semakin mantap.

“Walaupun dia terlibat dalam kemalangan dalam satu kejohanan di Koln, Jerman sebelum ke London, dia hanya cedera ringan dan tidak membimbangkan. Saya tengok dia berlatih bersungguh-sungguh. Apa yang kita harap pada perlumbaan esok (hari ini) dia layak ke dalam 16 akhir sebelum meneruskan kemaraan,” katanya.

Menurut Naim, sepanjang berlatih di Melbourne, Australia di bawah Beasley, Azizulhasni turut melalui beberapa siri latihan melibatkan latihan mental, dan psikologi di samping soal pemakanannya di bawah penyeliaan dua pakar dari Australia, malah Institut Sukan Negara (ISN) juga menempatkan empat pegawainya memantau perkembangan pelumba negara itu.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");