Program Basmi Kemiskinan

Masalah parkir HRPB terus meruncing

Kenderaan terpaksa diparkir di tepi jalan akibat masalah kekurangan tempat letak kereta awam di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh :-

Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB), dekat sini bukanlah perkara baru. Malah, masalah tersebut dilihat semakin meruncing tahun demi tahun.

Meskipun menerima pelbagai rungutan daripada orang awam, namun ternyata ianya masih belum menemui jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah tersebut.

Tempat letak kenderaan yang begitu terhad disediakan oleh pihak hospital menyebabkan orang awam yang mahu menerima rawatan ataupun yang ingin menziarah rakan atau keluarga di hospital tersebut terpaksa mencari alternatif lain untuk memarkir kenderaan mereka.

Tinjauan Peraktoday.com di hospital tersebut mendapati, rata-rata orang awam terpaksa meletakkan kenderaan mereka di luar kawasan hospital terutamanya di bahu-bahu jalan.

Menurut V. Malarvathana, 60, beliau terpaksa meletakkan kenderaanya di bahu jalan memandangkan usaha mencari tempat letak kenderaan yang disediakan hospital sering  berakhir dengan kehampaan.

“Kesusahan mendapat tempat parkir selalunya berlaku pada waktu tengah hari kerana saya terpaksa membuat pusingan yang banyak untuk mendapat parkir yang berhampiran,” jelas bekas kakitangan hospital itu lagi.

Beliau yang membawa ibunya menjalani rawatan mata di hospital tersebut adakalanya terpaksa datang lebih dua jam awal semata-mata untuk mendapatkan ruang parkir berhampiran bagi memudahkan pergerakan ibunya.

“Kalau pemeriksaan dijadualkan pada waktu pagi, saya akan datang seawal jam 6 supaya dapat letak kereta berhampiran hospital sebab ibu saya tua dan memakai tongkat jadi pergerakannya terbatas,” katanya.

Tambahnya, masalah tersebut telah membebankan ramai pihak terutamanya warga tua serta kanak-kanak yang terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Pekerja swasta, Jamal Nasir Yusop, 56, meluahkan rasa kesal kerana keadaan tersebut memaksa pelawat serta orang awam yang berurusan dengan pihak hospital terpaksa berjalan jauh berikutan lot parkir kenderaan di hospital yang sentiasa penuh.

“Setiap kali datang hospital masalah utama ialah parking. Adakalanya masa satu jam terbuang begitu sahaja semata-mata untuk mencari lot kenderaan kosong namun akhirnya saya terpaksa berjalan jauh berikutan ketiadaan parking,” katanya.

Beliau menambah, keadaan itu bukan sahaja menyukarkan pelawat malah menyebabkan mereka sering terlewat untuk kembali ke pejabat atau melakukan urusan yang lain

“Saya datang sini melawat rakan ketika waktu rehat tapi disebabkan tiada parking saya terpaksa meletakkan kenderaan saya sedikit jauh dan menyebabkan masa rehat saya terbuang begitu sahaja,”ujarnya.

Turut terkena tempias masalah parkir di HRPB itu ialah pelajar yang menuntut di kolej-kolej berhampiran.

Menurut Noraini Zambry, 52, setiap pagi kesesakan teruk akan berlaku di berhampiran kawasan hospital berikutan pelajar kolej serta orang awam terpaksa berebut untuk meletak kenderaan mereka di bahu jalan.

“Memang susah apabila semua mereka mahu ke pejabat dan ke kelas masing dan menyebabkan kesesakan teruk berlaku…kadang-kadang mereka terpaksa membuat pusingan berkali-kali semata-mata nak cari tempat parkir,” katanya.

Lebih malang apabila kepayahan orang awam untuk mendapatkan lot parkir yang berhampiran ditambah dengan beban yang terpaksa dihadapi apabila disaman dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Sudahlah tak cukup tempat letak kereta disediakan.. bila mereka letak kenderaan di tepi-tepi, pihak berkuasa mengeluarkan saman parkir terhadap kenderaan mereka,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");