Sukan Hari Ini

Revington janji julang hoki

Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad menyerahkan jersi kebangsaan kepada Paul Ravington pada majlis pengenalan rasmi jurulatih itu kepada media di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR – Mengembalikan maruah skuad hoki kebangsaan secepat yang mungkin serta menarik semula keyakinan semua pihak terhadap kualiti sukan tersebut merupakan janji jurulatih baru negara, Paul Revington yang diperkenalkan kepada media tempatan semalam.

Jurulatih dari Afrika Selatan itu berkata, fokus utamanya adalah memastikan setiap pemain mampu meningkatkan prestasi bagi mempercepatkan proses membina kecemerlangan pasukan.

Revington yang tiba di negara ini sejak 9 Ogos lalu berkata, sasaran pertamanya ialah membawa pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia 2014 di Belanda.

“Sebagai jurulatih sudah tentu saya mahu pasukan saya layak beraksi pada Piala Dunia, selepas itu saya akan cuba untuk pastikan pasukan layak ke Sukan Olimpik 2016.

“Saya percaya peluang untuk skuad hoki negara melangkah ke Sukan Olimpik 2016 masih ada selepas gagal ke Olimpik 2012,” katanya, semalam.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan Revington sebagai pengganti Tai Beng Hai dengan kontrak empat tahun.

Revington, bekas jurulatih Ireland dan Afrika Selatan akan dibantu oleh bekas pemain kebangsaan, Arul Selvaraj untuk membimbing pasukan kebangsaan.

Tugas sebenar Revington akan bermula dengan pemilihan pemain untuk membentuk skuad kebangsaan selepas tamat Liga Hoki Malaysia 2012 (TNB-MHL) dan Piala Razak Oktober ini.

Pencapaian terbaik Revington adalah membawa Afrika Selatan menduduki rankingke-10 dunia serta layak ke Sukan Olimpik 2004 Athens, Piala Dunia dan Sukan Komanwel 2006.

Mengenai dua kejohanan besar yang bakal dihadapi skuad kebangsaan iaitu Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November ini dan Piala Kejuaraan Enam Negara Asia di Doha, pada Disember, Revington berkata, sasarannya ialah melakukan yang terbaik.

“Jika dinilai berdasarkan kedudukan ranking, Malaysia berupaya untuk menang dalam kejohanan tersebut tetapi kita perlu cuba terlebih dahulu untuk melakukannya.

“Untuk pemain, peluang mereka terpilih masih ada tanpa mengira usia asalkan cukup cergas dan bermotivasi tinggi,” katanya.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");