Perak Hari Ini

SPR Gesa Pengundi Semak Daftar Pemilih

Walaupun tarikh Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) terus menjadi tanda tanya, kira-kira 1.3 juta pemilih berdaftar di negeri ini digesa agar menyemak semula pendaftaran masing-masing melalui pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah SPR  negeri, Ahmad Adli Abdullah menegaskan bahawa semakan tersebut penting supaya pindaan terhadap kesilapan maklumat yang berlaku pada pemilih berdaftar dapat dilakukan pihaknya dengan kadar segera.

“Saya berharap pemilih yang berdaftar untuk membuat semakan supaya sebarang kesilapan seperti nama, lokaliti dan pusat undian boleh dibuat dalam tempoh sebelum pilihan raya,” katanya.

Menurut beliau, SPR telah menyediakan pelbagai kaedah kepada orang awam yang telah mendaftar untuk membuat semakan bagi memastikan maklumat peribadi mereka tepat.

Ahmad Adli berkata, semakan boleh dibuat dengan menghubungi talian SPR negeri, laman web, sistem pesanan ringkas atau pemilih berdaftar boleh hadir sendiri ke pejabat di negeri masing-masing.

“Pelbagai kaedah disediakan dan kami memang sedang memberi tumpuan kepada semakan bagi memastikan pendaftar seboleh-bolehnya mengundi di tempat yang dekat dengan lokalitinya,” katanya.

Beliau menambah, SPR sedang cuba untuk meletakkan pusat-pusat mengundi yang berhampiran dengan tempat tinggal pemilih berdaftar bagi memudahkan urusan mengundi ketika pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Adli  berkata, bagi suku tahun kedua sehingga tarikh 1 Ogos lalu, lebih 300,000 rakyat negeri itu masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Walaubagaimanapun, jumlah tersebut berkurangan berbanding peringkat awal pada tahun 2011 di mana terdapat seramai 400,000 orang awam di Perak masih belum daftar mengundi.

“Ada penambahan jumlah pemilih berdaftar setelah SPR membuat pemotongan daftar pemilih akibat pertukaran alamat keluar, kematian dan pesara anggota pasukan keselamatan,” jelasnya.

Sementara itu, peratus pemilih daftar di kalangan golongan belia yang berusia lingkungan 21 tahun hingga 30 tahun pula dilihat kurang memberangsangkan.

“Dari segi peratusan, secara keseluruhan kumpulan yang berdaftar di bawah lingkungan umur ini hanya 17 peratus,” kata beliau.

Beliau berkata, faktor menyumbang kepada keadaan tersebut adalah disebabkan kurangnya minat untuk keluar mengundi di kalangan belia.

“Mereka mengambil sikap sambil lewa dan merasakan daftar pemilih yang harus dilakukan ini susah dan hanya membuang masa,” katanya

Namun, SPR tidak pernah berputus asa untuk memastikan golongan belia mendaftar sebagai pemilih melalui program turun padang yang dilakukan SPR sendiri.

“Kami akan memenuhi jemputan mana-mana pihak untuk pastikan mereka yang layak dapat mendaftar walaupun adakalanya bilangan yang mendaftar sedikit,” katanya.

Meskipun sambutan dingin daripada golongan belia, kesedaran orang awam untuk menjadi pemilih berdaftar semakin meningkat berdasarkan kepada pendaftaran yang dibuat melalui ejen-ejen pendaftaran pengundi.

“SPR Perak telah melantik Pegawai Pendaftar Pemilih di seluruh negeri ini yang terdiri daripada parti politik, jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat pengajian tinggi yang dilihat banyak membantu proses pendaftaran pemilih,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");