Program Basmi Kemiskinan

Aleesya Analia Selamat Jalani Pembedahan, Terima Kasih Rakyat Malaysia

Berkat sokongan dan bantuan masyarakat Malaysia yang prihatin, Adik Aleesya Analia Norhaid, selamat menjalani pembedahan implan koklear di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) pada 30 Ogos lalu, sekaligus memberi sinar harapan baru kepadanya untuk menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Selepas kisahnya mendapat liputan meluas di dada akhbar dan elektronik termasuklah Peraktoday.com, bantuan kewangan datang mencurah dari seluruh negara, kata ibunya,  Nor Aainy Kamal Bashah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia yang begitu prihatin dengan masalah kewangan yang kami hadapi untuk menanggung kos pembedahan yang berjumlah RM77,000.

“Namun, di atas keprihatian rakyat negara ini, pembedahan itu berjaya dilaksanakan melalui Tabung Bantuan PPHUKM yang menyumbang RM50,000,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Ditanya perkembangan terbaru Aleesya Analia selepas menjalani pembedahan itu, si ibu berkata, anaknya kini menjalani terapi pertuturan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada setiap minggu.

Dalam tempoh enam bulan akan datang, Aleesya Analia juga akan menjalani terapi audio di PPHUKM bagi memastikan pembedahan implan koklear yang dijalankan itu berjaya.

“Selepas pembedahan itu, Aleesya Analia sudah mula memberi respon positif dan saya berharap anak saya dapat mendengar dan bertutur sama seperti kanak-kanak normal lain pada masa akan datang,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata beliau turut menghargai liputan meluas media yang diberikan terhadap kes Adik Aleesya Analia.

Tambahnya, dalam masa yang singkat sahaja, masalah kewangan yang dihadapi Nor Aainy dapat diselesaikan hasil sokongan dan bantuan daripada rakyat Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi Adik Aleesya Analia.

“Tidak ketinggalan penghargaan buat pihak media yang memberi liputan meluas kepada kes ini yang akhirnya memungkinkan pembedahan implan koklear di telinga kiri kanak-kanak cilik itu,” katanya lagi.

Pada 28 Julai lalu, Peraktoday.com melaporkan kisah sedih yang membelenggu Nor Aainy Kamal Bashah yang memerlukan RM77,000 untuk membiayai kos pembedahan implan koklear anaknya, Aleesya Analia Norhaid.

Katanya, dek kekangan hidup lantaran suami yang tidak bekerja kerana sakit, membiayai kos pembedahan RM77,000 dilihat mustahil baginya yang hanya meraih pendapatan RM1,600 sebulan.

“Mujurlah Ipoh Spealist Hospital (KPJ) menghulurkan sumbangan RM10,000 untuk membiayai  sebahagian kos pembedahan yang dijadualkan sekitar Oktober atau November depan.

“Dengan pendapatan sebagai kerani dan suami tidak bekerja kerana sakit , harapan kami sekeluarga untuk melihat Aleesya Analia menjalani pembedahan tampak kabur tanpa sokongan dan bantuan kewangan daripada orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau katanya, mengharapkan ada pihak di luar sana sudi menyalurkan sumbangan bagi membantu anak keduanya itu menjalani kehidupan yang lebih ceria di masa akan datang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");