Perak Hari Ini

Anak-Anak Berjaya Ubah Sikap Ibu Bapa Semasa Memandu Di Jalan Raya

Murid sekolah rendah yang telah didedahkan dengan pelajaran berkaitan dengan aspek keselamatan dan pemanduan di jalan raya dilihat berjaya mengubah sikap ibu bapa mereka ketika berada di jalan raya, sekaligus mengurangkan kadar kemalangan serta kehilangan nyawa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, statistik yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini menunjukkan bahawa kempen dan program kesedaran yang dijalankan terhadap pengguna jalan raya mula menampakkan hasilnya.

“Strategi itu (kempen dan majlis penerangan) yang dijalankan selama ini kini mula menyedarkan pengguna jalan raya terhadap peripentingnya aspek keselamatan termasuk nyawa pengguna.

“Selain daripada itu, pendedahan awal terhadap aspek keselamatan jalan raya terhadap pelajar di peringkat sekolah rendah juga dilihat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan sepanjang Op Selamat yang lalu.

“Anak-anak (pelajar sekolah) merupakan perantara yang cukup berkesan menyalurkan maklumat kepada ibu bapa masing-masing ketika berada dalam kenderaan.

“Mereka boleh meminta penjaga memandu dengan perlahan atau mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang berada di jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Aidilfitri 2012 di Dewan Kebudayaan Cina Kampung Datuk Seri Kamaruddin dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu Kong yang juga Ahli Parlimen Lumut turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Aidilfitri dan Sambutan Bulan Kemerdekaan bagi Kategori Rumah Indah; Lampu Panjut dan Basikal Berhias.

Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan akan memastikan penurunan kadar kemalangan jalan raya termasuk jumlah yang maut sempena musim perayaan Aidilfitri lalu dapat diteruskan pada sambutan Hari Raya Haji, Deepavali dan Krismis akan datang.

Menerusi Op Selamat sempena Aidilfitri lalu, sebanyak 226 kes kemalangan maut direkodkan dengan melibatkan 243 kematian sepanjang tempoh itu berbanding 259 kes kemalangan maut dan 289 kehilangan nyawa tahun lalu.

Secara keseluruhan kemalangan jalan raya turut merekodkan penurunan 8.5 peratus iaitu sebanyak 17,937 kes di seluruh negara berbanding 19,606 kes pada tempoh yang sama tahun lalu.

Kong berkata, kesedaran dan perubahan sikap di kalangan pengguna jalan raya menjadi punca kesan memberangsangkan pada kempen kali ini.

Menurutnya, walaupun penguatkuasaan tetap dilaksanakan pada Op Selamat, sikap pengguna jalan raya yang semakin membudayakan pemanduan secara berhemah telah memberi kesan positif sehingga berjaya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

– Noraini Mahamad

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");