Perak Hari Ini

Bajet 2013 Bela Nasib Rakyat

Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam dilihat berupaya merangsang ekonomi negara, sekaligus membela nasib rakyat yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Pemberian bonus sebulan gaji kepada kira-kira 1.3 juta penjawat dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diteruskan untuk pusingan kedua sangat dialu-alukan oleh rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah.

Bagi Salmah Ismail, pemberian bonus sebulan gaji yang diumumkan Perdana Menteri amat disyukuri kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kakitangan awam untuk membuat persiapan persekolahan anak di penghujung tahun ini.

“Walaupun Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berjuang untuk mendapatkan dua bulan bonus, saya tetap bersyukur kepada Tuhan kerana diberi satu setengah bulan bonus.

“Dengan pemberian bonus ini, ia pasti dapat merangsang ekonomi negara pada tahun depan,” katanya kepada Peraktoday.com.

Ditanya mengenai belanjawan pihak pembangkang antaranya menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ibu kepada empat anak itu berkata, rancangan Pakatan Rakyat itu tidak rasional sama sekali.

Tegasnya, jika rancangan itu dilaksanakan, ia akan menjejaskan peluang pelajar lain untuk mendapat pinjaman pendidikan dan seterusnya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi.

Pendidik, Zolkaply Khalib, turut menyambut baik langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan pemberian BR1M untuk pusingan kedua.

“Bagi saya, BR1M wajar diteruskan untuk pusingan kedua kerana kedudukan ekonomi negara yang makmur,” katanya lagi.

Jelasnya, peruntukan besar pada setiap tahun untuk bidang pendidikan juga amat dialu-alukan warga pendidik di seluruh negara memandangkan pelajaran sangat penting bagi mengubah taraf dan status rakyat.

“Selain itu, kemudahan lain seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang akan diperluaskan lagi ke seluruh negara pastinya dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah terutamanya yang tinggal di kawasan luar bandar,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembayaran bonus sebulan gaji kepada kira-kira 1.3 penjawat awam manakala pesara pula akan menerima RM500.

Beliau berkata bonus sebulan itu sebagai tambahan kepada setengah bulan gaji yang telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri yang lepas,

Bayaran bonus itu akan dibuat sebanyak dua kali iaitu setengah bulan pada bulan Disember manakala setengah bulan lagi pada Januari depan.

“Sebagai kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Dari jumlah tersebut, setengah bulan telahpun diberikan menjelang Aidilfitri yang lepas,” kata Najib.

Kerajaan pada Ogos lepas memberikan bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500 kepada semua penjawat awam, manakala pesara menerima RM500 bagi menyambut Aidilfitri.

Najib berkata pemberian bonus tersebut diharap dapat mengurangkan beban penjawat awam terutamanya yang berkeluarga, bagi menghadapi musim persekolahan yang akan bermula Januari depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");