Perak Hari Ini

Bajet 2013 Dijangka Beri Impak Besar Kepada Rakyat: Zambry

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menaruh keyakinan Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, petang esok akan memberi impak yang besar kepada rakyat, khususnya di Perak.

Sudah pasti kerajaan negeri juga katanya, berharap akan mendapat bajet pembangunan yang berterusan dan dengan jumlah besar demi menjamin kesejahteraan rakyat jelata.

“Bajet 2013 sememangnya bajet yang ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini dan sebab itulah pihak pembangkang bentangkan bajet mereka lebih awal sebelum Perdana Menteri.

“Itulah taktik mereka untuk membuat penyataan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri dengan mendakwa sebahagiannya mereka (pembangkang) nak buat.

“Dalam beberapa siri perbincangan, mereka dapat ambil beberapa perkara dan apabila kerajaan umum Bajet 2013, pembangkang akan kata BN tiru bajet mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Parit Haji Wahab, dekat Parit Buntar, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pada tahun lalu, Perak menerima peruntukan istimewa di Parlimen Parit Buntar bagi melaksanakan projek tebatan banjir yang bernilai lebih RM450 juta.

“Walaupun tiada dalam Bajet 2012, kerajaan Perak menerima peruntukan yang besar untuk melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM450 juta yang telah dimulakan mengikut fasa,” katanya sambil menegaskan rakyat tempatan perlu bersyukur dengan kemudahan yang disediakan kerajaan Persekutuan itu.

Semalam, Pakatan Rakyat membentangkan Belanjawan 2013, dengan beberapa tawaran baru yang menguntungkan segenap lapisan rakyat dan bersifat realistik.

Ia dibentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan utama Pakatan kira-kira jam 2 petang, dua hari lebih awal daripada Barisan Nasional (BN).

Intipati Belanjawan dibuat berdasarkan polisi sebelum ini, selain selari dengan matlamat mengawal inflasi dan menurunkan hutang.

Tujuh teras utama digariskan iaitu reformasi dan ketelusan GLC, membina daya saing ekonomi, mengangkat martabat wanita, hasil minyak untuk negeri, menurunkan harga kereta, reformasi membanteras jenayah dan perumahan untuk rakyat.

Belanjawan bertema ‘Ekonomi Rakyat Negara Berkat’ itu juga mengandungi beberapa tawaran baru yang menarik, antaranya: –

– Peruntukan RM3 bilion setiap tahun melalui Caruman Wanita Nasional.

– Penubuhan syarikat minyak negeri antaranya PetroSabah, PetroTerengganu.

– Reformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk membubar 1MDB yang fungsinya bertindih dengan Khazanah.

– Penubuhan Perbadanan Perumahan Negara bagi meyediakan rumah mampu milik secara besar-besaran.

– Penurunan Harga kereta melalui pengurangan cukai eksasis sebanyak 20 peratus, selain sistem bidaan AP dibuat secara terbuka sehingga 2015 sebelum ia dihapus.

– Mengalih sumber manusia dan kewangan polis kepada membanteras jenayah selain kenaikan gaji lima peratus kepada anggotanya.

– Kenaikan gaji 20 peratus kepada kakitangan perubatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");