Membawang Hari Ini

Datuk Aziz Sattar kongsi keperitan zaman penjajah

TANPA kita sedari, negara kita telah mengacapi kemerdekaan selama 55 tahun. Sepanjang waktu itu, kita bebas dari pemerintahan luar termasuk British, Jepun mahupun komunis atau Bintang Tiga.

Pahit getir yang dilalui sewaktu zaman penjajah bukan sahaja dirasai oleh pejuang negara dan seluruh penduduk, malah karyawan seni yang mengharungi kehidupan ketika itu turut menghela nafas panjang untuk menempuh hari-hari mendatang.

Jika sebelum ini, Seniman Negara, Datuk Aziz Sattar, 87, sering berkongsi kisah-kisahnya bersama bintang legenda, Tan Sri P Ramlee, namun sempena sambutan kemerdekaan ini, beliau berbesar hati untuk berkongsi kisah perit ketika zaman penjajah.

Menurut bintang legenda yang mesra dipanggil Pak Aziz ini,  ketika negara dijajah, rakyat hidup dalam kesengsaraan dan penuh derita.

“Setiap hari, ada sahaja pertumpahan darah dan rakyat dibunuh tanpa belas kasihan. Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri, mayat bergelimpangan di sana sini.

“Ketika itu, umur saya baru mencecah belasan tahun. Ketika negara di bawah jajahan British, kesemua hasil dalam negara turut dijajah.

“Namun, keperitan mula semakin dirasai setelah Jepun datang. Peperangan terjadi di sana sini sehinggakan rakyat takut untuk keluar rumah,” katanya sambil fikirannya menerawang jauh mengingati detik-detik itu.

Menurut Aziz, ketika itu, kesengsaraan sangat dirasai apabila makanan utama yang hanya boleh didapati hanyalah ubi kayu sahaja.

“Kalau dapat segenggam beras, ia dah kira bersyukur. Kayu ubi kayu, bukan sahaja isinya yang dimakan, malah kulit juga menjadi hidangan kami.

“Bekalan ubat juga tidak diperoleh. Jika ada orang sakit, ia hanya dibiarkan begitu sahaja sehingga mati. Ketika itu juga, saya sanggup mencuri.

“Saya akan mencuri beras, gandum dan makanan lain untuk diagihkan kepada yang memerlukan. Jika saya tidak berbuat begitu, mungkin saya tidak dapat menolong mereka,” katanya sambil menggelengkan kepala.

Penderitaan rakyat tidak hanya berakhir setelah Jepun menyerah kalah pada 1945, malah kehadiran semula British mengundang Bintang Tiga atau komunis untuk melunaskan dendam terhadap Jepun sebelum ini.

“Namun, kekejaman komunis hanyalah sementara kerana mereka bukanlah pengganas yang digeruni. Mereka hanya berani menentang dari belakang dan takut untuk berdepan.

“Ketika pemerintahan British, mereka menubuhkan Malayan Union. Dengan kebijaksanaan Datuk Onn Jaafar, beliau membantah penubuhan Malayan Union dan menubuhkan United Malays National Organisation (Umno).

“Perbincangan yang berbekalkan sebatang pen dan kertas itu berjaya. Pada  1948, Malayan Union diubah kepada Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani Raja-Raja sekali gus mengembalikan Tanah Melayu ke pangkuan orang Melayu,” katanya yang merungkap makna Umno adalah ‘Tanpa Senjata’.

Imbau insiden lalu

Bercerita mengenai peristiwa yang sukar dilupakan ketika zaman darurat, dirinya mula terlibat sebagai pelakon di Jalan Ampas sejak 60-an.

Katanya, perjalanan ke Kuala Pilah bersama rakan artis yang lain menjadi mimpi ngeri ketika itu apabila kenderaan yang dinaiki pancit di tengah jalan.

“Ketika itu, kami sangat takut untuk keluar daripada kereta kerana bimbang berlaku apa-apa kejadian kerana ketika itu berlakunya isu perkauman yang serius sehingga menyebabkan pertumpahan darah.

“Apatah lagi, ketika itu segala kelengkapan untuk menukar tayar tidak mencukupi. Namun tanpa kami sangka, pelakon wanita, Neng Yatimah, yang terkenal dengan pelakon air mata itu berjaya mengangkat kereta dan
menukar tayar.

“Kami terkejut kerana tenaga seorang wanita mampu berbuat demikian. Bila difikirkan kembali, ia seakan tidak logik, tapi itulah sebenarnya yang berlaku,” katanya yang turut melahirkan rasa kesal dengan ketidakstabilan bangsa dalam pemahaman politik.

Ingin rakyat bersatu

Dalam meniti usia senja ini, Aziz turut mengharapkan agar bangsa Melayu bersatu dalam fahaman yang sama.

Katanya, tidak perlu untuk bertelagah membuktikan kebenaran masing-masing kerana sejarah kemerdekaan sudah jelas menunjukkan hala tuju dan pilihan kita.

“Perkara ini sudah dijelaskan Tan Sri P Ramlee menerusi karya-karyanya. Antaranya, ‘Biar busuk daging ku mamah, asal kau terhindar cemar’ dan ‘Buat apa berkelahi hari-hari, kan elok hari ini kau tolong sawah padi dia ni, esok kau tolong sawah padi dia ni pula.

“Semuanya membawa maksud yang mendalam. Begitu juga dengan angka lima yang kita raikan pada tahun ini. Ia jelas memberi gambaran bahawa 55 adalah waktu yang tepat untuk kita bersatu. Lima membawa banyak makna termasuk Rukun Islam dan Rukun Negara.

“Kedudukan orang Melayu haruslah bercantum seperti angka 55 ini. Jangan sampai ‘6 Jahanam’ muncul merosakkan perpaduan dan keharmonian kita,” katanya yang berharap agar peristiwa 13 Mei tidak berulang lagi.

Sedia lancar buku P Ramlee

Dikenali sebagai rakan karib kepada Tan Sri P Ramlee, ia adalah kekuatan Aziz untuk menghasilkan karya yang berkisar mengenai seniman itu.

Menurut Aziz, buku yang mengandungi lebih 200 jilid itu mengisahkan tentang P Ramlee ketika bersamanya.

“Buku, Tan Sri P Ramlee-Dimana Kan Ku Cari Ganti, adalah buah tangan saya mengenai beliau. Segala kenangan dan kisah saya bersamanya dikisahkan dalam buku ini.

“Alhamdulillah, ia sudah siap dan menunggu masa untuk dicetak. Insya-Allah, bulan Mac nanti, buku ini akan dipasarkan sempena tarikh lahir beliau.

“Saya berharap agar buku ini dapat mendekatkan pembaca kepada Allahyarham. Walaupun tidak berada di situasi itu, namun ia menggambar siapa beliau,” katanya yang banyak belajar mengenai lakonan daripada P Ramlee.

Mengakui kesihatannya kini bertambah baik, namun Aziz masih lagi mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Memilih untuk tinggal bersama anak perempuannya, Sandakiah, di Taman Tun Hussein Onn, Aziz memberitahu bahawa anaknya akan memastikan ubat-ubat sentiasa diambil mengikut waktu yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, kesihatan dah semakin baik dan saya boleh kembali memandu. Jika ada undangan ceramah di luar kawasan, anak akan menemani saya.

“Isteri saya pula berada di rumah anak-anaknya, lagipun, dia tidak tahu untuk menguruskan ubat-ubat saya. Sesekali, saya akan menjenguk rumah sendiri dan bersihkannya.

“Bila saya dah betul-betul sihat nanti, saya akan pulang ke rumah. Seminggu sekali saya ada temu janji dengan doktor kerana saya disahkan mengidap ketumbuhan dalam perut. Namun, ia masih di peringkat awal,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");