Jenayah

Enam perompak tak sempat joli RM571,000

IPOH: Enam perompak yang terbabit dalam kes rompakan van keselamatan di Taiping, Selasa lalu, tidak sempat ‘berjoli katak’ dengan wang rompakan sebanyak RM571,000 apabila diberkas polis dalam dua operasi berasingan.

Suspek sebelum ini melarikan wang tunai berjumlah RM1.23 juta, namun polis berjaya memperoleh semula sebahagian daripada wang itu yang disorok di dua rumah di Georgetown, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 2.30 petang Sabtu lalu, polis menahan empat suspek berusia 24 hingga 40 tahun di hadapan sebuah premis makanan segera di Bandar Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, polis turut merampas dua kereta model Honda City dan Proton Waja dipercayai digunakan suspek dalam rompakan itu.

Menurutnya, polis kemudian melakukan serbuan kedua di Georgetown dan Kulim, jam 4 pagi kelmarin dan memberkas dua lelaki masing-masing berusia 28 dan 47 tahun selain turut merampas sebahagian wang disembunyikan di dua rumah suspek.

“Semua suspek ditahan itu kini direman sehingga 28 September depan bagi membantu siasatan polis.

“Kes rompakan itu dianggap selesai selepas tertangkapnya semua suspek berkenaan, namun pihak polis masih menjejaki seorang lagi dalang rompakan berkenaan yang masih bebas,” katanya pada sidang akhbar khas di pejabatnya di sini, semalam.

Shukri berkata, polis masih memburu Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, yang juga pekerja syarikat keselamatan yang disyaki menembak mati rakan setugasnya, Hasnol Hafez Saad, 28, beberapa minit sebelum rompakan berlaku.

“Kami yakin suspek turut terbabit merancang rompakan itu sebelum melarikan enam guni wang dari dalam van keselamatan dipandu mangsa.

“Kami juga percaya sejumlah wang tunai dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit masih berada pada suspek utama ini. Saya berharap suspek dapat menyerah diri seterusnya membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya.

Mohd Shukri berkata, kejayaan menumpaskan enam suspek itu hasil penubuhan satu pasukan khas diketuai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sehari selepas kes rompakan itu berlaku.

“Kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga hari selepas rompakan berkenaan. Ia kejayaan bermakna buat polis kontinjen negeri kerana dapat menyelesaikan kes berkenaan dengan pantas,” katanya.

Dalam kejadian 18 September lalu, seorang pengawal keselamatan, Hasnol, ditemui mati disyaki ditembak rakan sekerjanya, manakala enam karung wang dibawa turut lesap dilarikan.

– HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");