Perak Hari Ini

Fokus Selesaikan Krisis Ekonomi Negara Eropah

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mencadangkan agar Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memberi tumpuan bagi menyelesaikan krisis ekonomi yang melanda negara-negara Eropah.

Beliau berkata, jika krisis ekonomi yang melanda negara Eropah dibiar berlanjutan, ia akan memberi kesan kepada kelembapan  perdagangan dunia dan secara tidak langsung turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mahu fokus diberikan kepada cara untuk bantu negara-negara Eropah yang dilanda krisis supaya kita dapat keluarkan mereka dari masalah itu secepat mungkin,” katanya.

Ahmad Husni berpendapat, penstrukturan semula ekonomi negara bukanlah cara penyelesaian yang baik untuk menangani masalah tersebut kerana ia mengambil masa yang begitu lama selain membantutkan pertumbuhan ekonomi.

“Penstrukturan semula tidak mudah kerana ia melibatkan cara bagaimana mahu meningkatkan eksport, menarik pelabur asing untuk membuat pelaburan disamping meningkatkan jumlah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Menengah Yuk Choy dekat sini, hari ini.

Katanya lagi, dalam hal ini, pemerhatian secara menyeluruh harus dilakukan kerana ia bukan sahaja melibatkan pembangunan ekonomi dalam sebuah negara sahaja namun turut melibatkan pertumbuhan ekonomi global.

Tambahnya, Malaysia dikira bertuah kerana hubungan perdagangan serta peraliran wang kepada lima negara yang terjejas disebabkan krisis ekonomi tidak begitu membimbangkan.

“Kita tidak perlu bimbang kerana negara kita tidak pernah meminjamkan wang kepada negara tersebut dan mereka juga tidak pernah meminjam daripada kita,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, jika keadaan ekonomi dunia terus berada dalam keadaan yang lembab, lama-kelamaan ia turut akan meninggalkan kesan kepada negara kita.

Baru-baru ini, Ahmad Husni menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asia Pasifik di Moscow (APEC) yang membincangkan tentang perspektif ekonomi dunia khususnya di kawasan Asia Pasifik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");