Jenayah

Kes Samun Mesin ATM & Bunuh Pengawal Keselamatan: Polis Tahan Enam Suspek

Polis Perak menahan enam suspek di Pulau Pinang dan Kedah bagi membantu siasatan kes samun wang tunai berjumlah RM1,235,715 dan bunuh seorang pengawal keselamatan di dalam van di depan sebuah pasaraya di Taiping pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata mereka yang berumur antara 40-an hingga 20-an itu ditahan di tiga kawasan pada Jumaat dan Sabtu lepas hasil risikan polis.

Empat daripada suspek berkenaan terdiri dua lelaki dan dua wanita ditahan di luar premis Kentucky Fried Chicken (KFC) di Petronas Bandar Sunway Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 2.30 petang, Jumaat lepas, katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ipoh, Isnin.

Beliau berkata susulan daripada tangkapan itu, awal pagi keesokannya polis menyerbu sebuah rumah di kawasan George Town dan menahan seorang lelaki berumur 47 tahun.

“Pada hari yang sama (Sabtu) polis juga menahan seorang wanita berumur 28 tahun di sebuah rumah di daerah Kulim, Kedah,” katanya dan menurutnya kejayaan menahan enam suspek itu merupakan kejayaan besar bagi polis Perak.

Ekoran penahanan keenam-enam suspek itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu selain wang tunai berjumlah RM571,100, katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman sehingga 28 September ini.

Dalam kejadian di hadapan sebuah pasaraya di Aulong, Taiping, pengawal keselamatan Hasnol Hafiz Saad, 28, ditemui mati dalam sebuah van yang dalam perjalanan membawa wang tunai di bawah kawalan Syarikat Safeguards Malaysia Sdn Bhd ke bandar Taiping, manakala rakan setugasnya Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, menghilangkan diri.

Hasnol ditemui mati di tempat duduk pemandu dengan beberapa kesan tembakan di badan.

Mohd Shukri berkata polis sedang mengesan Mohd Hafizuddin, nombor kad pengenalan 870216-08-5015 untuk membantu siasatan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd Hafizuddin atau kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");