Berita Hari Ini

Nenek 104 tahun tidak mahu lepaskan kewajipan mengundi pada PRU13

“Jika dipanjangkan umur dan dipeliharakan kesihatan nenek akan terus mengundi ” itulah tekad yang diluah seorang pengundi warga emas Halimah Muda yang berasal dari Kampung Paya Balai Besar, dekat Dungun.

Faktor usianya yang kini mencecah 104 tahun menjadi perhatian umum dan beliau bangga kerana menjadi pengundi paling tua di kawasan Parlimen Dungun.

Malah lebih menarik, Halimah yang mempunyai 12 anak dan lebih 30 cucu dan cicit mendakwa tidak pernah ketinggalan untuk mengundi pada setiap kali pilihan raya umum sejak negara mencapai kemerdekaan 55 tahun lepas.

Beliau menegaskan, sebagai seorang rakyat, keluar mengundi adalah satu kewajipan kepada negara yang mengamalkan demokrasi untuk memilih kerajaan memerintah.

Halimah, yang menjadi pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Rantau Abang, bagaimanapun perlu diiring ke pusat mengundi berikutan faktor usia.

“Selagi masih ada, nenek tidak akan sia-siakan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Walaupun ingatannya agak kurang untuk mengimbas pengalamannya pada masa lampau, raut wajah wanita berusia satu abad ini nampak bersemangat apabila disebut musim pilihan raya.

Halimah kini tinggal di rumah anaknya, Wan Rokiah Wan Nik, 62, juga di kampung berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Strategik Umno Terengganu Datuk Rosli Mat Hassan berkata Halimah dikesan sebagai pengundi paling tua di Dungun ketika semakan pada sistem maklumat Barisan Nasional tahun lepas.

Setakat ini, Halimah merupakan satu-satunya pengundi di Parlimen Dungun yang berusia lebih seratus tahun, katanya.

— Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");