Jenayah

Siswa patah cubaan 6 lelaki curi motosikal

KANGAR: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pauh berdepan detik mencemaskan apabila dikepung enam lelaki bermotosikal tidak dikenali dipercayai ingin menyamun dan melarikan motosikal jenis 125z miliknya di Jalan Mergong, Alor Setar, Rabu lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Along, 21, berkata, dia yang dalam perjalanan ke Alor Setar bagi menemui rakannya, memberhentikan motosikal di jalan berkenaan jam 9 malam bagi menghubungi rakannya untuk mengetahui lokasinya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.

“Dua lelaki itu berhenti di depan motosikal saya sebelum seorang datang lalu menendang saya, menyebabkan saya terjatuh sebelum kami bergelut.

“Tidak lama kemudian, datang dua motosikal jenis Yamaha 125z dan RX-Z bersama empat lelaki tidak dikenali untuk membantu rakan mereka sebelum mengacukan pisau terhadap saya.

“Bagaimanapun, saya melawan serta berjaya melarikan diri bersama motosikal saya,” katanya ketika di Hospital Tunku Fauziah (HTF), dekat sini, semalam.

Along berkata, selepas yakin tiga motosikal terbabit gagal mengesannya, dia berhenti di sebuah stesen minyak ketika dalam perjalanan pulang ke Kangar sebelum ditegur seorang pelanggan di situ yang melihat belakang tubuhnya dipenuhi darah.

“Selepas ditegur, baru saya sedar belakang tubuh saya cedera, mungkin terkena pisau yang diacukan seorang daripada mereka ketika bergelut.

“Saya menggagahkan diri menunggang motosikal untuk pulang ke rumah sewa di Arau dan memberitahu rakan sebelum dibawa ke HTF bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan mangsa dan menjalankan siasatan.

– HARIAN METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");