Berita Hari Ini

37 IPTS dikompaun RM370,000 kerana kesalahan premis

Sebanyak 37 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dikenakan kompaun berjumlah RM370,000 kerana kesalahan berkaitan premis pada 2010 dan tahun lalu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya memandang serius masalah ketidakpatuhan dan pelanggaran piawaian termasuk penggunaan premis yang tidak dibenarkan.

“Pada 2010, 11 IPTS diambil tindakan dan dikompaun RM110,000 manakala tahun lalu, 26 IPTS dikompaun berjumlah RM260,000 atas kesalahan sama.

“Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kualiti IPTS dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, pengurusan IPT, penyediaan bangunan dan kemudahan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) berhubung IPTS di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin berkata, semua IPTS yang diberi kelulusan penubuhan akan didaftarkan bangunan atau premisnya dalam perakuan pendaftaran institusi dan tidak dibenar menggunakan premis tidak berdaftar.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kolej Antarabangsa Mahsa Prima di Kepong boleh dikenakan tindakan kerana melanggar peraturan dengan menggunakan premis tambahan yang belum berdaftar.

“Lawatan dilakukan pada 30 Julai lalu ke kolej itu dan kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan dakwaan yang boleh dikenakan mengikut Seksyen 78 Akta 555 (Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta),” katanya.
Saifuddin berkata, sehingga 31 Ogos lepas, terdapat 506 IPTS berdaftar termasuk 34 bertaraf universiti, 21 bertaraf kolej universiti dan enam bertaraf kampus cawangan universiti luar negara.

Sebanyak 413 buah lagi bertaraf kolej masih aktif dan 32 bertaraf kolej didapati tidak aktif.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kemasukan penuntut asing untuk menyambung pelajaran di negara ini akan diperketat untuk memastikan mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan sahaja diterima.

Beliau berkata, kerajaan akan memberi tumpuan untuk menarik penuntut dari negara-negara maju supaya melanjutkan pelajaran di Malaysia.

Beliau menarik perhatian bahawa kemasukan penuntut dari negara maju sangat sedikit, dengan menjadikan Australia sebagai contoh yang mana bilangan penuntut mereka di Malaysia tidak sampai 200 orang sedangkan jumlah penuntut Malaysia di Australia mencecah 20,000 orang.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");