Berita Hari Ini

AES Inisiatif Kurangkan Kemalangan, Kematian Jalan Raya Melalui Penguatkuasaan Yang Terbukti Berkesan

Automated Enforcement System (AES) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan merupakan satu lagi inisiatif yang diperkenalkan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan yang terbukti berkesan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Wong Shaw Voon, berkata Jawatankuasa Penilaian Teknikal AES telah ditubuhkan untuk memastikan peralatan-peralatan dan sistem yang digunakan dalam AES ditentukur (calibrated), ditentusah (validated) dan melalui proses homologasi (homologation).

Katanya, peralatan dan sistem AES mematuhi undang-undang metrologi di Malaysia, iaitu Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675).

“Segala proses yang ditetapkan serta dilaksanakan bagi tujuan tersebut, adalah berasaskan piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Organization of Legal Metrology (OIML).

“Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan dianggotai oleh pakar daripada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Standard, Makmal Standard Pengukuran Kebangsaan (MSPK), Mahkamah Persekutuan Malaysia, dan pakar metrologi serta pakar ICT daripada universiti-unversiti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya lagi, semua kamera AES yang telah dipasang memperolehi kelulusan homologasi daripada Institut Metrologi Belanda (NMI).

Kelulusan tersebut tegasnya, telah diperakui melalui proses pengiktirafan sijil-sijil kelulusan perintah rekabentuk yang dilaksanakan oleh MSPK di bawah Akta 675.

“NMI merupakan sebuah organisasi professional dalam pengujian, pengesahan, penentukuran dan memberi latihan yang berkaitan dengan bidang metrologi. Banyak negara telah menggunakan perkhidmatan NMI dalam proses homologasi instrumen dan sistem pengukuran, termasuk AES.

“Sistem kamera bersama back-office yang telah dibina dan digunapakai perlu melalui beberapa siri pengujian, iaitu Factory Acceptance Test (FAT), User Acceptance Test (UAT), Site Acceptance Test (SAT) dan persijilan Fitness for Use (FFU).

“Persijilan perakuan hanya akan dikeluarkan oleh pemilik sistem, iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas memastikan semua siri pengujian memenuhi spesifikasi teknikal yang telah ditetapkan.

“Di samping itu, bagi menjamin keselamatan operasi dan storan data sistem AES, piawaian-piawaian antarabangsa yang ditetapkan perlu dipatuhi,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");