Program Basmi Kemiskinan

Baiki, Tampal Jalan Berlubang Elak Kemalangan

Penduduk dari Taman Sri Rokam, dekat Ipoh menggesa pihak berwajib menampal segera jalan berlubang berdekatan Lorong Indah Rokam 4, demi menjamin keselamatan pengguna lalu-lintas yang menggunakan laluan itu pada setiap hari.

Masalah itu telah berlarutan sejak tiga bulan lalu dan lubang jalan dilihat semakin dalam dan membesar dari hari ke hari, sekaligus boleh membahayakan keselamatan pengguna di waktu malam terutamanya penunggang motosikal.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Sarimah, 36, berkata laluan itu agak sibuk terutamanya di waktu puncak apabila ibu bapa menghantar dan mengambil anak masing-masing pulang dari beberapa buah sekolah di sekitar Gunung Rapat dan Ipoh Jaya.

Apabila hujan lebat, air bertakung dalam lubang jalan dan jika masalah ini tidak ditangani segera, kemalangan mungkin tidak dapat dielakkan lagi, katanya lagi.

“Jalan berlubang adalah salah satu faktor yang menyebabkan kemalangan jalan raya kerana pemandu ingin mengelak jalan itu tetapi bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan.

“Tambah membahayakan jika kemalangan itu berlaku di kawasan selekoh dan waktu hujan lebat di mana jarak penglihatan pemandu adalah agak terhad,” katanya kepada Peraktoday.com.

Beliau yang menetap di kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu turut berharap agar pihak bertanggungjawab seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) membaiki segera jalan yang berlubang itu demi keselamatan pengguna.

“Bukan setakat di laluan ini sahaja, saya juga berharap semua masalah jalan berlubang di sekitar bandar raya Ipoh beri perhatian serius oleh kedua-dua pihak bertanggungjawab ini kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” tambahnya.

Terbaru, seorang pelajar Tingkatan Enam maut selepas koma hampir seminggu akibat terjatuh daripada motosikalnya dalam kejadian di Taman Lintang Perdana, dekat Sungai Siput.

Mangsa, Nor Amirah Ghazali, 18, berasal dari Rancangan Perumahan Awam (RPA) Lasah dikatakan dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Tok Muda Abdul Aziz dalam kejadian yang berlaku jam 7 pagi, 13 September lalu.

Allahyarham Nor Amirah menggunakan laluan yang berlopak itu untuk berulang-ulang ke sekolah setiap hari sebelum terjatuh dan mengalami kecederaan serius di kepala dan tidak sedarkan diri lebih seminggu di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh sebelum meninggal dunia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");